
Ringgit Makin ‘Garang’, Terkuat Di Asia, Media Indonesia Minta Rakyatnya "Jangan Iri"
Baru-baru ini, media Indonesia mencuri perhatian ramai apabila berseloroh meminta rakyatnya untuk tidak berasa cemburu susulan pengukuhan mata wang Malaysia, Ringgit, sebagai mata wang paling kukuh di Asia, lapor CNBC Indonesia.
Prestasi Ringgit dianggap cukup menarik kerana ia berlaku di tengah-tengah pasaran kewangan global yang masih dibayangi ketidakpastian. Konflik di Iran kekal menjadi perhatian kerana berpotensi mengganggu bekalan tenaga dan melonjakkan lagi harga minyak.
Sejak awal tahun sehingga penutupan perdagangan pada Selasa baru ini, Ringgit telah berjaya mengukuh sebanyak 2.64 peratus berbanding dolar AS (greenback).
Ini menjadikannya yang tertinggi di Asia, manakala kedudukan kedua dihuni oleh Yuan China yang mengukuh sebanyak 2.23 peratus.
Pengukuhan ini disokong oleh data perdagangan Malaysia yang padu, pertumbuhan ekonomi yang stabil, serta aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal.
Prestasi Ringgit Berbanding Dolar AS

Memetik laporan Refinitiv, Ringgit Malaysia mengukuh pada perdagangan Selasa (28/4/2026). Mata wang itu ditutup mengukuh tipis 0.03 peratus pada paras RM3.949/AS$1.
Peningkatan ini meneruskan momentum positif daripada sesi sebelumnya. Pada Isnin (27/4/2026), Ringgit turut ditutup mengukuh 0.30% pada paras RM3.95/AS$1.
Data Perdagangan yang Sihat

Keunggulan Ringgit dipengaruhi perdagangan Malaysia yang kekal sihat;
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan (Mac 2026), meningkat 9.3 peratus (tahunan) kepada RM273.0 bilion, dengan eskport naik 8.3 peratus kepada RM148.8 bilion.
Manakala Import meningkat 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion, serta lebihan perdagangan RM24.6 bilion pada Mac 2026.
Ketua Ekonom Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menilai ekonomi Malaysia masih menunjukkan daya tahan yang kuat.
Baca juga:Anggaran awal menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 berada di atas 5 peratus.
"Ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang kuat untuk menghadapi cabaran semasa akibat lonjakan harga minyak susulan konflik di Iran," kata Mohd Afzanizam, dipetik daripada Bernama.
Aliran Dana Asing Memperkukuh Ringgit

Ringgit turut mendapat sokongan daripada aliran dana asing ke dalam pasaran modal Malaysia. Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa aliran dana asing adalah positif, sekali gus mendorong permintaan terhadap Ringgit daripada pelabur global.
Secara year-to-date (sejak awal tahun) sehingga penutupan Isnin (28/4/2026), Ringgit Malaysia mencatatkan pengukuhan berbanding hampir kesemua mata wang utama Asia.
Ringgit direkodkan mengukuh berbanding Rupee India iaitu sebanyak 8.07 peratus, diikuti oleh Peso Filipina (7.31peratus), Rupiah Indonesia (6.76 peratus), dan Baht Thailand (6.46 peratus)
Selain itu, Ringgit turut menunjukkan prestasi kukuh berbanding Won Korea dengan peningkatan sebanyak 5.24 peratus, Yen Jepun (4.63 peratus), Dolar Taiwan (3.57 peratus), Dong Vietnam (2.82 peratus), serta Dolar Singapura (1.97 peratus)
Dalam pada itu, pengukuhan Ringgit berbanding Yuan China dilihat agak terhad, dengan kenaikan hanya sebanyak 0.41peratus.




