RINGGIT meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis apabila hutang negara Amerika Syarikat (AS) yang melepasi AS$40 trilion buat kali pertama telah menjejaskan prestasi dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh 140 peratusan dalam titik (pip) kepada 4.0425/0470 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0565/0610 pada Rabu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, saiz hutang awam AS menjadi tumpuan baru-baru ini dengan Jabatan Perbendaharaan AS meningkatkan usaha untuk mengelakkan hasil Perbendaharaan daripada meningkat secara berlebihan.
"Intervensi langsung kerajaan AS dalam pasaran perbendaharaan untuk membendung kenaikan hasil jangka panjang merupakan pemacu utama sentimen peniaga.
"Hasil Perbendaharaan AS 30 tahun kini berada pada sekitar 5.22 peratus selepas melebihi 5.30 peratus baru-baru ini. Langkah ini membayangkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS tidak akan menaikkan Kadar Dana Persekutuan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada September depan," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5527/5557 daripada 2.5498/5528 pada Rabu, turun berbanding pound Britain kepada 5.5164/5225 daripada 5.4994/5055 dan merosot berbanding euro kepada 4.7322/7374 daripada 4.7080/7132.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 227.7/228.1 daripada 227.3/227.7 pada Rabu, turun berbanding baht Thai kepada 12.3014/3211 daripada 12.2686/2871 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1813/1851 daripada 3.1778/1816.
Bagaimanapun, ringgit meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.57 daripada 6.56/6.57 pada Rabu. - Bernama






