RISDA semarak ibadah korban

30 May 2026 • 7:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RISDA semarak ibadah korban
Manndzri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid Al-Mustaqim Kg. Abu Bakar Baginda dalam Majlis Ibadah Korban RISDA di Aqua Garden, Bangi.

BANGI – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) meneruskan Majlis Ibadah Korban yang menjadi acara tahunan agensi itu dalam usaha memperkukuh hubungan dengan warga kerja dan komuniti setempat.

Majlis yang berlangsung di Aqua Garden, di sini, pada Sabtu itu menyaksikan sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan secara gotong-royong dengan penglibatan warga RISDA serta Kumpulan RISDA Holdings.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, penganjuran program bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, menyemai nilai ihsan dan menzahirkan kepedulian terhadap masyarakat.

Menurutnya, ibadah korban juga mendidik umat Islam supaya sentiasa berkongsi rezeki, memahami kesusahan golongan memerlukan serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan.

“Pengorbanan bukan hanya terbatas kepada ibadah korban, tetapi turut merangkumi kesediaan mengorbankan masa, tenaga, harta dan kepentingan diri demi agama, masyarakat, organisasi dan negara.

“Dalam konteks Kumpulan RISDA, semangat pengorbanan ini amat dekat dengan amanah kita untuk terus berkhidmat secara ikhlas, amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara.

“Mudah-mudahan Kumpulan RISDA terus menjadi agensi diberkati, dipandu dengan nilai keikhlasan, amanah dan kebersamaan, demi kesejahteraan pekebun kecil serta kemakmuran masyarakat desa,” katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holding Sdn Bhd, Muhammad Adnin Bakir Abu Bakar.

Sementara itu, dalam majlis sama turut berlangsung program memberi sumbangan berupa manfaat sumbangan korban kepada 28 penerima yang terdiri daripada 14 warga RISDA Ibu Pejabat dan 14 penerima daripada Kumpulan RISDA Holdings.

RISDA dalam masa sama juga turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM6,000 kepada tiga institusi komuniti, masing-masing menerima RM2,000.

Institusi tersebut ialah Maahad Tahfiz Imam As Syafie Bangi, Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain Bangi dan Masjid Al-Mustaqim, Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda.