
Malaysia bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang jerebu rentas sempadan yang lebih serius susulan fenomena El Nino yang semakin menguat selain keadaan cuaca kering dijangka berterusan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementerian itu memantau rapat keadaan berkenaan susulan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini sejak 8 Ogos.
“Jerebu terbabit melibatkan Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya namun keadaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini semakin bertambah baik.
“Sehingga tengah hari Ahad, empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan IPD Serian di Sarawak serta Johan Setia di Semenanjung Malaysia.
“Kawasan lain merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana,” katanya.
Arthur berkata keadaan semasa dikaitkan dengan fenomena El Nino yang semakin menguat dan berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya menyebabkan pengurangan hujan serta cuaca lebih panas dan kering di kebanyakan kawasan.
Menurutnya lebih membimbangkan ialah kemungkinan tempoh kering berpanjangan yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah sekali gus mencetuskan satu lagi episod jerebu rentas sempadan yang berpotensi lebih serius.
Ujarnya Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) pada Mesyuarat Pegawai Kanan Asean mengenai Alam Sekitar (ASOEN) ke-37 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan secara dalam talian dari 10 hingga 13 Ogos melaporkan bahawa El Nino diramal lebih kuat berbanding 2025.
“Keadaan kering berpanjangan turut dijangka meningkatkan potensi berlakunya jerebu rentas sempadan.
“Bagaimanapun fenomena El Nino yang semakin kuat menjadi cabaran besar khususnya kepada negara yang mempunyai kawasan tanah gambut yang luas dan dalam,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sudah membuat persiapan sejak Jun lalu dengan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Induk Kebangsaan Jerebu dan Cuaca Kering bagi 2026 diadakan di kementerian itu di Putrajaya pada 15 Jun.
Jelas beliau agensi berkaitan dan kerajaan negeri telah diberi taklimat mengenai kemungkinan kesan El Niño terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu.
Arthur menyatakan langkah-langkah berkenaan akan dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan.
Di peringkat serantau Arthur mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri (MSC) ke-27 dan Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Bali, Indonesia, pada 8 dan 9 Julai lalu.
Mesyuarat itu melibatkan enam negara Asean selatan iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste, dengan negara peserta membentangkan strategi serta inisiatif masing-masing bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah.
Arthur turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia dan delegasi negara berkenaan dengan kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai usaha memantau dan membendung peningkatan titik panas bagi mencegah jerebu rentas sempadan.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia kekal komited untuk mempergiat usaha menangani kebakaran serta situasi jerebu ketika ini.
Di bawah inisiatif Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, Tahap Amaran 2 diaktifkan pada 3 Ogos lalu.
Negara-negara di rantau Asean selatan dikehendaki mengemukakan laporan harian dan tindak balas kecemasan berkaitan kejadian kebakaran dan jerebu, termasuk tindakan yang telah diambil.
Arthur berkata kementeriannya akan terus memantau laporan berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kemungkinan gelombang jerebu rentas sempadan susulan yang lebih teruk.
Kementerian itu juga merancang untuk menghantar surat rasmi kepada Sekretariat Asean bagi menggesa negara-negara Asean selatan mempergiat usaha pencegahan dan mengekalkan kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Nino yang berpotensi kuat, selain berusaha mencegah jerebu rentas sempadan atau mengurangkan tahap keterukannya sekiranya berlaku.
NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau serta melaporkan perkembangan berkaitan cuaca, kualiti udara dan jerebu.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi memastikan badan kekal terhidrat ketika keadaan cuaca panas, kering dan berjerebu.
Bacaan rasmi IPU boleh diperoleh menerusi platform APIMS milik Jas dan aplikasi mudah alih MyJAS EQMS manakala maklumat cuaca rasmi boleh didapati menerusi MetMalaysia dan aplikasi myCuaca.





