
JOHOR BAHRU – Situasi bekalan air di beberapa kawasan di utara tanah air iaitu Perlis dan Kedah serta Labuan kini berada pada tahap kritikal susulan fenomena El Nino yang melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, Empangan Timah Tasoh, Perlis dan Empangan Muda, Kedah dijangka hanya mampu bertahan selama 50 hari sekiranya tiada taburan hujan dalam tempoh berterusan.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan situasi bekalan air di negeri-negeri lain di seluruh negara secara keseluruhannya masih berada dalam keadaan terkawal.
“Paling kritikal sekarang adalah di Perlis membabitkan Empangan Timah Tasoh, manakala Kedah melibatkan Empangan Muda. Bagi Johor, keadaan mula bertambah baik selepas menerima hujan sejak seminggu dua ini.
“Berdasarkan rekod sejarah, kita menjangkakan fenomena peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut sekitar September hingga Oktober ini akan membawa taburan hujan di kawasan Utara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Tebrau (pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual) di sekitar bandaraya ini di Jalan Syahbandar 2, Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.
Mengulas pelan kontingensi di Perlis, beliau menjelaskan kerjasama rapat telah dijalankan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta syarikat air tempatan bagi mengepam air dari kolam dan tali air berhampiran ke kawasan terjejas.
Katanya, operasi pembenihan awan adalah pilihan terakhir sekiranya keadaan bertambah buruk di lokasi terkesan.
“Setakat ini, sebanyak empat siri operasi pembenihan awan telah dilaksanakan bermula April hingga awal Julai lalu, terutamanya di kawasan Utara dan Johor,” tambahnya.
Jelasnya, operasi pembenihan awan berkenaan memerlukan perbelanjaan yang tinggi iaitu mencecah RM80,000 hingga RM100,000 bagi setiap siri penerbangan.
“Disebabkan kos yang tinggi, kajian rapi terhadap keadaan awan dilakukan terlebih dahulu sebelum penerbangan dibuat bagi memastikan pembenihan tersebut mencapai keberkesanan optimum,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post El Nino: Bekalan air di Perlis, Kedah kritikal appeared first on Kosmo Digital.





