Risiko luaran masih tinggi, syarikat perlu sesuaikan strategi operasi - ACCA

LocalBusiness & Finance
27 Jul 2026 • 1:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Risiko luaran masih tinggi, syarikat perlu sesuaikan strategi operasi - ACCA Image from: Risiko luaran masih tinggi, syarikat perlu sesuaikan strategi operasi - ACCA hamden27/07/2026 - 13:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Julai - Walaupun ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan inflasi kekal terkawal, syarikat perlu terus menyesuaikan strategi operasi berikutan risiko luaran yang masih tinggi.

 

Ketua Portfolio Maritime Asia Tenggara ACCA, Andrew Lim berkata, langkah sokongan bersasar kerajaan membantu mengurangkan kesan tekanan tersebut, namun perniagaan masih perlu menjangkakan tempoh turun naik yang berterusan dan bukannya kembali kepada keadaan normal dalam masa singkat.

 

"Tinjuan di peringkat global, mendapati lebih tiga perempat akauntan melaporkan peningkatan kos operasi pada 2Q26, manakala 83% Ketua Pegawai Kewangan (CFO) turut melaporkan peningkatan kos, yang dikatakan rekod tertinggi," katanya dalam kenyataan mengumumkan hasil Tinjauan Keadaan Ekonomi Global ACCA dan IMA (GECS) hari ini.

 

Bagaimanapun menurut Andrew, prospek Malaysia kekal relatif berdaya tahan berbanding beberapa rantau lain, namun syarikat perlu mengurus kos dengan lebih teliti apabila ketidaktentuan global berterusan.

 

“Gabungan inflasi yang terkawal, aktiviti domestik yang stabil dan sokongan dasar bersasar menyediakan penampan kepada ekonomi, walaupun risiko global kekal tinggi,” katanya.

 

Hasil Tinjauan GECS

Sementara itu tinjuan GECS mendapati tekanan kos operasi global meningkat ketara pada suku kedua 2026 (2Q26) apabila lebih tiga perempat akauntan di seluruh dunia melaporkan peningkatan kos, didorong ketegangan geopolitik, kenaikan harga komoditi serta gangguan rantaian bekalan.

 

Menurut tinjauan tersebut, sebanyak 83% CFO melaporkan peningkatan kos pada 2Q26, meningkat lebih 20 mata peratusan berbanding suku pertama dan menghampiri paras tertinggi siri yang direkodkan pada 2022 serta 2023.

 

Peningkatan kos itu mencerminkan tekanan berterusan terhadap perniagaan global susulan kenaikan harga komoditi serta ketidakstabilan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik.

 

Bagaimanapun, keyakinan dalam kalangan akauntan global menunjukkan pemulihan pada 2Q26 selepas mencatat paras hampir terendah dalam sejarah pada suku sebelumnya.

 

Walaupun sentimen masih berada pada tahap berhati-hati, peningkatan keyakinan itu menunjukkan ekonomi global masih menunjukkan daya tahan, selain dipengaruhi harapan bahawa konflik geopolitik mungkin menuju penyelesaian ketika tinjauan dijalankan.

 

Ketua Ekonomi ACCA, Jonathan Ashworth berkata, tekanan kos kekal menjadi isu utama kepada firma apabila syarikat berdepan peningkatan kos operasi yang mendadak.

 

“Jika syarikat semakin berusaha memindahkan kos tersebut kepada pengguna, ia akan meningkatkan risiko pengetatan dasar oleh bank pusat utama dunia secara ketara.

 

“Namun, pembuat dasar berharap perkembangan positif dari sudut diplomatik serta penurunan harga minyak kembali ke paras sebelum krisis dapat berlaku, sekali gus membolehkan mereka mengekalkan pendirian sedia ada sepanjang baki 2026,” katanya.

 

Tinjauan GECS yang dilakukan oleh ACCA dan Institut Pengurusan Akauntan (IMA) dijalankan antara 3 hingga 17 Jun 2026, sebelum tercetusnya serangan baharu serta peningkatan ketegangan konflik Timur Tengah pada penghujung bulan lalu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved