RKK Lenggong Geopark pastikan pembangunan Lenggong UGGp dilakukan secara terancang

9 Sep 2026 • 11:56 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RKK Lenggong Geopark pastikan pembangunan Lenggong UGGp dilakukan secara terancang

IPOH – Rancangan Kawasan Khas (RKK) Lenggong Geopark yang sedang disediakan Majlis Daerah Lenggong akan memastikan pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark (Lenggong UGGp) dilaksanakan secara terancang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, dokumen RKK itu penting kerana ia akan menjadi asas perancangan yang lebih terperinci bagi menentukan hala tuju pembangunan, pemuliharaan dan pengurusan kawasan geopark.

Beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian termasuklah aspek guna tanah, zon pemuliharaan, pembangunan produk pelancongan, kemudahan dan infrastruktur pelawat dan aksesibiliti.

“Ia termasuklah papan tanda, interpretasi, pengurusan tapak, pembangunan ekonomi komuniti serta mekanisme pelaksanaan yang melibatkan pelbagai agensi.

“Kerajaan negeri menjangkakan dokumen RKK Lenggong Geopark dapat disiapkan pada hujung tahun ini, sebelum melalui proses kelulusan dan seterusnya diwartakan mengikut peruntukan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi menjawab soalan Mohamad Husairi Arifin (PN-Kenering) yang ingin tahu pelan tindakan bersepadu kerajaan negeri bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi membangunkan koridor pelancongan dari DUN Kenering hingga ke Pengkalan Hulu berteraskan UNESCO Global Geopark.

Sze Yee berkata, dengan wujudnya RKK itu kelak, pembangunan Lenggong UGGp akan mempunyai satu pelan tindakan ruang dan pembangunan yang lebih jelas, bersepadu dan holistik.

“Ia sekali gus membolehkan keutamaan pembangunan serta keperluan peruntukan diselaraskan secara lebih sistematik antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi teknikal berkaitan.

“Badan Pengurusan Lenggong Geopark juga melalui kerjasama kementerian dan agensi berkaitan akan terus mengenal pasti keperluan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pelancongan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, Lenggong UGGp kini meliputi kawasan seluas 2,248 kilometer persegi, merangkumi lima mukim iaitu Mukim Lenggong, Mukim Temelong, Mukim Durian Pipit, Mukim Kenering dan Mukim Gerik.

“Kawasan itu menjadikan pembangunan Lenggong UGGp bukan hanya tertumpu kepada satu lokasi atau satu produk pelancongan, sebaliknya melibatkan pembangunan sebuah wilayah yang kaya dengan warisan geologi, biodiversiti, arkeologi, sejarah, budaya, dan kehidupan komuniti setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post RKK Lenggong Geopark pastikan pembangunan Lenggong UGGp dilakukan secara terancang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved