
IPOH: Taiping bakal diperkasa sebagai hab sukan udara negeri bagi memperkukuh sektor pelancongan di daerah itu sekali gus menarik lebih ramai pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, usaha itu bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah berpotensi membawa lebih banyak penganjuran acara, penggiat sukan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.
“Daerah Larut, Matang dan Selama kini semakin menyerlah sebagai antara destinasi pelancongan yang berpotensi tinggi, bukan sahaja dalam kalangan pelancong domestik, malah turut menarik perhatian pelancong antarabangsa.
“Dengan kelebihan landskap semula jadi, aset pelancongan dan potensi aktiviti rekreasi udara yang ada, kerajaan negeri melihat Taiping mempunyai peluang besar untuk dibangunkan sebagai destinasi utama sukan udara,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2026 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Loh berkata, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri melalui Tourism Perak terus mempergiat pelbagai inisiatif dan pendekatan baharu bagi menggalakkan pelancong tinggal lebih lama dan meneroka lebih banyak destinasi di negeri ini.
Katanya, menerusi inisiatif ‘Perak Stay & Explore’, sebanyak 2,000 baucar pelancongan bernilai RM40 setiap satu disediakan kepada pelancong yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di Perak.
“Baucar ini boleh dimanfaatkan melalui agensi pelancongan dan persatuan pelancongan yang berdaftar, hotel serta produk dan pengusaha berkaitan sektor pelancongan negeri, tertakluk kepada syarat dan mekanisme pelaksanaan yang ditetapkan.
“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kita untuk menggalakkan pelancong tinggal lebih lama, meneroka lebih banyak destinasi dan berbelanja lebih banyak dalam negeri,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu pelancong yang berkunjung ke Ipoh tidak menjadikan bandar raya itu sebagai satu-satunya destinasi, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar, Taiping, Lenggong, Gopeng, Kuala Sepetang, Pangkor dan destinasi lain di seluruh Perak.
“Kita mahu mereka menikmati makanan tempatan, menginap di hotel, membeli produk tempatan, menyertai aktiviti pelancongan dan membawa pulang pengalaman berharga yang membuatkan mereka mahu datang semula.
“Pada masa sama, kita mahu manfaat daripada peningkatan sektor pelancongan ini turut mengalir kepada pengusaha dan komuniti tempatan.
“Itulah matlamat Perak Stay & Explore, bukan sekadar menjemput pelancong datang ke Perak, tetapi mengajak mereka tinggal lebih lama, meneroka dan menikmati negeri ini dengan lebih mendalam,” katanya. – UTUSAN
The post Taiping bakal diperkasa sebagai hab sukan udara appeared first on Utusan Malaysia.






