RM1.04 juta beri sinar baharu dua kanak-kanak SMA

LocalHealth & Fitness
9 Sep 2026 • 8:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM1.04 juta beri sinar baharu dua kanak-kanak SMA

SEBERANG PERAI – Dua kanak-kanak yang menghidap atrofi otot spina (SMA) kini dalam fasa pemulihan selepas berjaya menjalani rawatan terapi gen di Jakarta, Indonesia, hasil sumbangan orang ramai berjumlah RM1.04 juta.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Hadeef Fayyadh Mohd. Farhan, dua tahun, dan Muhd Iman Hafiz Muhammad Syafiq, lima tahun, berlepas ke Jakarta pada 23 Ogos lalu sebelum menjalani terapi gen pada keesokan harinya.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian dibenarkan pulang pada 27 Ogos selepas menjalani pemantauan selama beberapa hari di hospital.

“Selepas ini, kedua-dua mereka masih perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi menguatkan otot kaki, dengan harapan suatu hari nanti mereka dapat belajar berdiri dan seterusnya melangkah dengan lebih yakin.

“Mungkin ia hanya satu langkah kecil, namun bagi dua kanak-kanak yang sekian lama berjuang melawan SMA, langkah itu bakal menjadi satu detik yang amat bermakna,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Sui Hau, peluang kedua-dua kanak-kanak itu mendapatkan rawatan berkenaan pada awalnya hampir mustahil berikutan kos terapi gen yang tinggi dan di luar kemampuan keluarga.

“Dengan kos terapi gen yang begitu tinggi, kedua-dua keluarga pada awalnya tidak mampu menanggungnya sendiri dan peluang untuk mendapatkan rawatan hampir mustahil.

“Namun, hasil sokongan orang ramai, sumbangan demi sumbangan berjaya dikumpulkan sehingga akhirnya kedua-dua kanak-kanak ini mendapat peluang untuk rawatan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post RM1.04 juta beri sinar baharu dua kanak-kanak SMA appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved