
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan diminta memberikan penjelasan menyeluruh tentang kenapa Sabah mencatatkan tunggakan bil rawatan kesihatan tertinggi berjumlah RM1.06 juta bagi pelarian dan pendatang tanpa izin pada tahun lepas.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya (gambar) berkata, dapatan dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia (DR 21) mengenal pasti Sabah sebagai negeri dengan kos rawatan perubatan tertunggak tertinggi bagi kumpulan berkenaan tahun lepas.
Katanya, pendedahan di halaman 16 laporan itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya berhubung sama ada pendatang terbabit membayar bil rawatan mereka atau kos berkenaan terpaksa ditanggung pembayar cukai Malaysia.
“Pendedahan itu boleh menimbulkan tanggapan bahawa pesakit warga asing, khususnya pendatang tanpa izin, menerima ‘rawatan kelas pertama’, memandangkan kumpulan ini menyumbang bahagian terbesar bil perubatan tertunggak dalam kalangan pelarian.
“Sehubungan itu, Putatan meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan faktor utama Sabah mencatatkan tunggakan bil rawatan kesihatan tertinggi melibatkan pelarian,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata sektor kesihatan awam terpaksa menanggung bil rawatan perubatan tertunggak berjumlah RM1.06 juta bagi kumpulan berkenaan pada 2025.
Katanya, pendedahan itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pelarian yang menetap di negara ini mengambil kesempatan terhadap kemudahan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan tanpa batasan yang jelas.
Sementara itu, berhubung kemudahan kesihatan di Putatan, Shahelmey membangkitkan keperluan mendesak untuk membina sebuah hospital daerah di kawasan berkenaan.
“Cadangan pembinaan hospital daerah itu antara keutamaan yang perlu diberi pertimbangan serius oleh Kementerian Kesihatan, memandangkan jumlah penduduk Putatan melebihi 70,000 berdasarkan dapatan bancian.
“Pegawai Perubatan Kesihatan Pekerjaan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Putatan, Dr Balachandar, mengklasifikasikan cadangan pembinaan hospital daerah itu sebagai satu keperluan mendesak.
“Penilaian itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya peningkatan keperluan rawatan bagi penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Shahelmey turut menggesa Kementerian Kesihatan mempertimbangkan secara serius cadangan pembinaan Hospital Daerah Putatan untuk dimasukkan dalam agenda pembangunan kementerian di bawah peruntukan pembinaan hospital baharu.



