liza06/10/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Sektor kewangan Malaysia berjaya menyekat kira-kira RM1.9 bilion transaksi yang cuba dilakukan secara penipuan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, sekali gus melepasi RM1.2 bilion yang berjaya dihalang sepanjang tahun lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha lebih agresif sektor kewangan dalam menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks, khususnya penipuan yang menggunakan teknologi semakin canggih ketika ini.
Beliau berkata, lebih RM37 bilion aset turut berjaya dipulihkan dalam tempoh lima tahun lalu, hasil kerjasama lebih erat antara agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain.
AI jadikan penipuan lebih pantas, sukar dikesan
Berucap pada Persidangan Antarabangsa ke-16 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan, Abdul Rasheed memberi amaran penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini menjadikan penipuan lebih pantas dan semakin sukar dikenal pasti.
Katanya, kira-kira 95% kes penipuan dalam talian berlaku apabila mangsa sendiri diperdaya untuk memindahkan wang, menjadikan usaha membanteras penipuan lebih mencabar kerana transaksi berkenaan kelihatan seperti transaksi yang diluluskan secara sah oleh pemilik akaun.
Menurutnya, teknologi AI juga semakin mampu menghasilkan kandungan yang boleh meniru suara dan penampilan seseorang yang membuka ruang lebih luas kepada penipuan.
Justeru, BNM kini menggesa industri kewangan beralih daripada pendekatan yang hanya mengesan transaksi mencurigakan selepas ia berlaku kepada kawalan penipuan yang lebih bersifat ramalan dan pencegahan.
Sistem amaran sebelum pelanggan pindahkan wang
Dalam usaha itu, industri perbankan bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sedang membangunkan keupayaan amaran penipuan di seluruh industri bagi memberi peringatan kepada bank dan pelanggan mengenai potensi risiko sebelum transaksi diselesaikan.
Projek perintis yang melibatkan beberapa bank terpilih disasarkan dilaksanakan pada separuh pertama 2027 sebelum diperluaskan secara lebih menyeluruh.
Sistem amaran itu bertujuan memberi ruang kepada pelanggan untuk berhenti seketika dan mengesahkan transaksi yang mencurigakan sebelum meneruskannya.
BNM mengakui langkah berkenaan mungkin menambah sedikit masa memproses transaksi kepada pelanggan, namun ia dilihat perlu bagi mengelak penipuan terutama kes yang mana mangsa sendiri memberi kebenaran untuk transaksi dilakukan.
Lebih 1,600 akaun mencurigakan dikenal pasti
Dalam perkembangan berkaitan, Portal Penipuan Kebangsaan (National Fraud Portal) sejak Oktober 2025 turut menguji analisis rangkaian pembayaran bagi mengenal pasti kemungkinan akaun keldai.
PayNet setakat ini telah menandakan lebih 1,600 akaun mencurigakan dengan sebahagian besar daripadanya kemudiannya dinilai mempunyai risiko berkaitan akaun keldai.
Menurut BNM, usaha itu menunjukkan bagaimana maklumat pada peringkat rangkaian yang merentasi pelbagai institusi kewangan mampu mendedahkan ancaman yang mungkin tidak dapat dilihat oleh sesebuah bank secara bersendirian.
Abdul Rasheed berkata, perubahan landskap geopolitik, kemunculan saluran pembayaran baharu dan aliran kewangan rentas sempadan yang semakin lancar turut mewujudkan peluang baharu untuk aktiviti haram.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan institusi kewangan dan pengawal selia untuk terus menilai semula risiko serta menyesuaikan langkah pencegahan mengikut perkembangan jenayah kewangan.
Ketika ini, Malaysia mempunyai lebih 27,000 institusi pelapor dalam sektor kewangan dan bukan kewangan yang beroperasi di bawah rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta jenayah kewangan.
Menurut Abdul Rasheed, perkongsian maklumat yang lebih kukuh antara institusi awam dan swasta, selain kerjasama antarabangsa yang lebih erat, akan menjadi semakin penting memandangkan rangkaian penjenayah kini beroperasi merentasi sempadan negara. - DagangNews.com





