RM1 bilion bina jejambat atasi masalah penduduk Alam Budiman

29 Oct 2026 • 5:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM1 bilion bina jejambat atasi masalah penduduk Alam Budiman

SHAH ALAM – Pembinaan jejambat sepanjang tujuh kilometer dari Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) hingga Persimpangan Greenhill bagi mengatasi masalah kesesakan dan kemalangan dianggarkan menelan belanja RM1 bilion.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, penelitian sedang dilakukan termasuk menerusi kaedah penswastaan bagi merealisasikan pembinaan laluan bertingkat itu.

Katanya, antara lokasi yang kerap dibangkitkan penduduk ialah laluan sepanjang 600 meter dari Persimpangan Alam Budiman hingga Persimpangan Greenhill.

“Laluan sekitar Persiaran Alam Budiman ini digunakan 80,300 pengguna kerana menjadi jalan pintas dari Meru dan Puncak Alam.

“Jika mengikut pandangan saya, jejambat dibina dari sebelum Persimpangan Greenhill hingga DASH. Namun, kosnya besar iaitu RM1 bilion dan kaedah penswastaan mungkin menjadi pilihan terbaik,” katanya pada sidang akhbar berkaitan keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari di sini, hari ini.

Menurutnya, cadangan pembinaan jejambat itu akan dibawa untuk penelitian lanjut, namun pelaksanaannya bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan negeri.

“Persiaran Mokhtar Dahari merupakan laluan di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

” Cadangan menaik taraf jalan sedia ada, membina jalan baharu dan menambah baik persimpangan di Selangor sehingga 2035 memerlukan peruntukan RM7.7 bilion, sedangkan perbelanjaan negeri bagi tujuan itu hanya RM145 juta setahun,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 80 peratus kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari tidak mematuhi had laju ditetapkan.

Katanya, sikap pengguna jalan raya yang tidak sabar sehingga memotong barisan turut menyumbang kepada risiko kemalangan di laluan berkenaan.

“Kajian turut merekodkan sembilan kemalangan dari Mac hingga Oktober tahun ini dengan satu kematian.

“Tahap perkhidmatan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari pula berada tahaf F iaitu paling sesak,” jelasnya.

Sementara itu, kerja fizikal bagi langkah penambahbaikan jangka sederhana di Persiaran Mokhtar Dahari dijangka bermula tahun depan.

Antara langkah dirancang ialah menaik taraf persimpangan Alam Budiman-Persiaran Lumut U10, menambah satu lorong sepanjang 300 meter dari arah Puncak Alam menuju Shah Alam serta menaik taraf lampu isyarat, lampu jalan dan sistem perparitan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan lebih 200,000 penduduk Puncak Perdana, Alam Budiman dan Puncak Alam terus menuntut pembinaan jejambat di Persimpangan Alam Budiman selepas menanti lebih 15 tahun tanpa penyelesaian.

Desakan itu disuarakan menerusi demonstrasi aman yang turut menyaksikan enam kubur berhias diletakkan sebagai simbol kebimbangan penduduk terhadap risiko kemalangan di persimpangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post RM1 bilion bina jejambat atasi masalah penduduk Alam Budiman appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved