SUNGAI BULOH, 22 JAN: Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi kerja menaik taraf tebing sungai sepanjang 400 meter di Kampung Desa Aman dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan.
Wakil rakyatnya Pua Pei Ling berkata fasa pertama sudah selesai pada 2023 melibatkan kos RM500,000 manakala bakinya bagi kerja fasa kedua sedang berjalan dan dijangka siap 28 Januari ini.
“Kedua-dua fasa projek menaik taraf ini merupakan peruntukan sepenuhnya daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tujuan menaik taraf kerana sebelum ini kerap banjir sehingga menyebabkan hakisan di tebing sungai dan boleh mendatangkan risiko kepada kira-kira 100 unit rumah di sekitar sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau projek menaik taraf tebing sungai di Kampung Desa Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pei Ling berharap kerja naik taraf itu dapat siap sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bagi memastikan penduduk lebih selesa dan selamat.
“Saya harap dengan menaik taraf projek ini kejadian banjir dapat dikurangkan dan hakisan tanah melibatkan keselamatan penduduk boleh dielakkan.
“Semoga projek ini dapat siap sebelum Tahun Baharu Cina, ia umpama angpau besar buat mereka memandangkan majoriti penduduk di kampung ini berbangsa Cina,” katanya.

The post RM1 juta naik taraf tebing sungai Kampung Desa Aman, tangani hakisan, banjir appeared first on Selangorkini.


