
Kota Kinabalu: Sabah mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM10.9 bilion bagi suku pertama 2025, menjadikannya negeri ketiga pelaburan tertinggi di Malaysia.
Dua lagi negeri catat pelaburan tertinggi adalah Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa Awam dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Anifah Aman berkata, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM6.6 bilion (61 peratus) manakala pelaburan domestik (DDI) sebanyak RM4.29 bilion (39 peratus).
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Katanya, ini menunjukkan keyakinan pelabur asing tidak datang secara tiba-tiba, tetapi merupakan hasil dasar pentadbiran telus, mesra pelabur dan berwawasan yang diterajui sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kejayaan menarik pelaburan berskala besar ke Sabah tidak hanya membawa angka signifikan dan tidak pernah terlintas di fikiran rakyat Sabah, tetapi ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kesemua ini tidak datang bergolek, sebaliknya terjadi kerana keyakinan pelabur akan kestabilan politik di wilayah ini,” katanya dalam kenyataan ketika menghadiri majlis pelaburan di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Beliau berkata semua ini berlaku kerana kepimpinan GRS bukan sekadar berpolitik, tetapi benar-benar menepati tanggungjawab membela rakyat melalui dasar pembangunan ekonomi inklusif.
Satu lagi polisi yang ditekankan Ketua Menteri iaitu slogan “’Rumah Kita, Kita Jaga” dan “Sabah First” menjadi satu agenda yang berjaya, katanya.
Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, slogan yang sering diketengahkan oleh Ketua Menteri itu bukan sekadar ungkapan kosong, tetapi prinsip asas pentadbiran negeri untuk mendahulukan kepentingan Sabah dan rakyatnya dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Rumah Kita, Kita Jaga” menekankan tanggungjawab bersama bahawa Sabah adalah rumah kita bersama dan menjadi amanah bersama untuk dipertahankan, dijaga dan dimajukan.
“Slogan ‘Sabah First’ pula menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan berpaksikan kepada kepentingan rakyat Sabah terlebih dahulu,” tambahnya.
Dalam konteks pembangunan dan pelaburan, Anifah berkata, kedua-dua slogan menjadi panduan supaya limpahan ekonomi tidak hanya terhenti pada angka pelaburan.
Paling penting, katanya, slogan itu benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah kerana memberi peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, membangun infrastruktur dan memastikan kesejahteraan komuniti akar umbi.
“Segala pencapaian ini amat dirasai kini kerana kerjasama erat dalam pentadbiran negeri.
“GRS berdiri sebagai satu barisan bersatu dengan menggabungkan semua parti komponen berganding bahu dan bersepakat demi satu matlamat iaitu menjadikan Sabah negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera.
“Keutuhan politik ini menghapuskan ketidaktentuan yang sebelumnya membelenggu dan memulihkan keyakinan pelabur serta komuniti perniagaan antarabangsa,” katanya.
Dengan pengalaman luas dalam arena ekonomi dan sebagai bekas menteri luar Malaysia, Anifah berkata beliau tahu rakyat Sabah berhak berasa bangga dengan prestasi pentadbiran di bawah pimpinan Hajiji.
Beliau memberi contoh, ketika negeri lain berhadapan cabaran politik yang mengganggu pembangunan, Sabah di bawah GRS terus mengekalkan momentum kemajuan.
“Bagi rakyat, inilah masa terbaik untuk terus menyokong kerajaan negeri, memperkukuh mandat agar agenda pembangunan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
“Kita perlu ingat bahawa pelaburan yang datang bukan sekadar membawa masuk modal, tetapi modal tersebut menjadi peruntukan pembangunan untuk rakyat yang akan membina harapan dan membuka jalan kepada masa depan yang lebih baik,” kata Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu.
Di bawah Kerajaan GRS, katanya, Sabah terus membuka lembaran baharu sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan mesra pelabur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sikap sesetengah orang yang suka berpolitik akan mengganggu gugat fokus kepada perkara yang penting.
“Saya bosan dengan politik remeh-temeh. Kenapa tidak kita adakan rundingan dan forum untuk membantu memperbaiki ekonomi Sabah? Kehidupan rakyat dan keluarga kita bergantung kepada ekonomi.
“Apa yang kita boleh lakukan untuk mereka? Polisi apa yang perlu diguna untuk memastikan setiap keluarga ada rumah, ada pakaian dan makanan atas meja? Adakah pelaburan ketika ini cukup di Sabah?
“Bagaimana dengan penyertaan orang tempatan dalam industri besar seperti pembuatan? Inilah semua isu yang perlu kita tangani ketika kita menuju ke arah pilihan raya negeri tidak lama lagi,” katanya.


