Hari persandingan merupakan hari yang dinantikan oleh mereka yang telah bernikah. Manakan tidak, ia merupakan satu-satunya hari mereka digelar 'Raja Sehari'. Namun, hari yang sepatutnya bahagia untuk sepasang pengantin bertukar menjadi kelam apabila mereka menjadi mangsa scam selepas katerer yang diupah tidak muncul untuk menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu undangan.
Difahamkan, keluarga pengantin tersebut telah ditipu oleh syarikat katering sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM13,000. Menurut keluarga pengantin, syarikat katering tersebut telah pun ditempah oleh mereka untuk membuat tempahan yang dianggarkan untuk 1,000 tetamu.
Perkara tersebut mula mendapat perhatian selepas salah seorang daripada ahli keluarga pengantin memohon maaf kepada semua tetamu yang hadir ke majlis mereka yang serba kekurangan.
“Saya mewakili keluarga Ustaz Shukor memohon ribuan kemaafan andai yang hadir ke majlis perkahwinan adik saya hari ini hanya dapat menjamu juadah sekadarnya sahaja,” tulis abang kepada pengantin perempuan iaitu Burhanuddin Rabbani Abd Shukor menerusi satu hantaran di laman sosial.
Beliau berkata, selepas majlis akad nikah adiknya, dia ke dewan majlis untuk melihat persiapan, namun hanya ada pelamin sahaja, tiada meja dan kerusi untuk tetamu.
"Kami menjadi mangsa penipuan syarikat katering yang ditempah oleh adik kami namun tidak hadir, banyak kali kami cuba telefon tetapi tiada maklum balas. Jumlah tempahan yang dibuat untuk 1,000 tetamu.
"Sehingga jam 9 malam sebelum majlis berlangsung, kami masih menunggu namun hampa sebelum kami sembilan beradik mengambil keputusan untuk masak sendiri.
"Namun kami hanya mampu siapkan juadah dalam anggaran untuk 400 tetamu itupun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman," katanya.
Menurutnya lagi, mereka sekeluarga berpecah kepada beberapa kumpulan bagi mencari set meja, kerusi, periuk besar dan barang-barang untuk memasak lauk majlis perkahwinan itu.
Selain Burhanuddin, seorang lagi abang kepada pengantin juga berkongsi keadaan dan persiapan yang dilakukan mereka sekeluarga bagi menjayakan majlis persandingan adik mereka.
Menerusi video yang tular di TikTok, Najmudin Shukor atau lebih dikenali sebagai Abang Soya tidak dapat menahan sebak mengenangkan keadaan yang menimpa keluarganya beberapa jam sebelum majlis berlangsung.
@najmudin.shukor Sebak. Sebab semua tak jangka kita bole handle. #abangsoya ♬ original sound - ABANG SOYAAA
"Yang ini memang sebak gila, tadi masa lori ais sampai kami cakaplah yang kami kena tipu dengan katerer sampaikan orang yang hantar ais itu terkejut.
"Mereka pun bagi kami ‘extra’ ais untuk mudahkan majlis hari ini. Saya tak boleh jadi macam ini, serius saya sebak.
"Lauk ini semua kami ahli keluarga yang masak sendiri. Meja dan kerusi semua ini kami pinjam, adalah sebahagian yang kami dapat sewa dan hias bagi nampak seperti majlis kahwin," jelasnya.

Menerusi beberapa hantaran yang lain juga, dapat dilihat Najmudin, ahli keluarga serta beberapa orang rakan kepada adiknya bersama-sama membantu bagi memudahkan urusan majlis agar berjalan dengan lancar.

Semuanya bekerjasama dalam menyediakan beberapa barang keperluan seperti bahan mentah dan bahan basah, mencari PA sistem, kerusi meja dan sebagainya.
Sumber: Oh Bulan, TikTok & Facebook




