
TAWAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15 juta bagi menyokong, memperkasa dan memantapkan lagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut beliau, sejumlah RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan untuk mempergiatkan promosi produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Program Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal diperkenalkan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.
“Sejumlah RM7.1 juta turut diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bagi meneruskan usaha menyedia dan membangunkan premis pernigaan, kedai-kedai sosio-ekonomi dan lain-lain program keusahawanan tahun ini,” katanya.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Justeru, beliau mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, termasuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SabahFEC) 2023 Zon Pantai Timur di dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, malam Sabtu lepas. Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Karnival itu dianjurkan Exco Wanita Biro Keusahawanan Wanita Negeri Gagasan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan di negeri ini supaya dapat terus berkembang dan memantapkan perniagaan mereka.
Menurutnya, pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga terus diberi tumpuan sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak, termasuk Yayasan Sabah dan syarikat swasta seperti Petronas dalam membangunkan IKS banyak membantu syarikat swasta di negeri ini.
“Kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya selepas pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau melihat penganjuran SabahFEC 2023 akan membantu golongan pencari kerja untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan kemahiran, selain bantuan geran dana untuk usahawan daripada pelbagai agensi kerajaan terlibat.
Hajiji optimis, karnival itu adalah platform terbaik untuk pencari kerja dan usahawan memperkasa ekonomi diri, mendapat maklumat bantuan geran dana daripada agensi terbabit, pengurusan kewangan selain peluang kerjaya serta kemahiran.
Sehubungan itu, beliau menyarankan para pencari kerja, terutamanya golongan belia agar memanfaatkan setiap kemudahan, program dan platform pencari pekerjaan serta peluang pekerjaan disediakan kerajaan.
“Pencari kerja perlu memanfaatkan portal pekerjaan Sabah Jobs Portal (SJP) dan MyFutureJobs untuk menghubungkan mereka dengan majikan bagi mengelakkan terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan.
“Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang–peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan,” katanya.
Hajiji menambah, portal SJP adalah khusus untuk rakyat Sabah dan kekosongan jawatan yang diiklankan adalah peluang kerjaya dari seluruh Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau mahu SabahFEC 2023 diperluaskan ke zon-zon lain di negeri ini agar lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat.
Hadir sama, Adun Balung, Datuk Hamild Awang; Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda dan Pengerusi Penganjur SabahFEC 2023, Shazlinah Lai Wun Fong.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

