johardy01/07/2026 - 16:55 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai — Pelaksanaan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter di bawah BUDI MADANI Diesel dilihat oleh penganalisis sebagai langkah penting yang memperkukuh kedudukan fiskal negara serta menyokong agenda reformasi subsidi kerajaan.
Harga RM2.10 itu juga meletakkan Malaysia antara negara dengan harga diesel paling rendah di dunia apabila dibandingkan dengan harga runcit tanpa subsidi di kebanyakan pasaran global yang lazimnya dipengaruhi oleh harga minyak mentah antarabangsa, cukai bahan api serta kadar pertukaran mata wang.
Di banyak negara membangun dan maju, harga diesel runcit boleh mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi berikutan struktur cukai dan ketiadaan subsidi bersasar seperti yang dilaksanakan Malaysia.
Maybank Investment Bank sebelum ini menyifatkan rasionalisasi subsidi bahan api sebagai langkah positif kepada pengukuhan fiskal, dengan potensi penjimatan kerajaan sekitar RM2 bilion setahun, sekali gus membantu usaha menurunkan defisit fiskal negara.
CIMB Securities pula berpandangan kesan inflasi daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini adalah terkawal dan bersifat sementara, memandangkan pendekatan tersebut mengurangkan kesan rantaian harga secara meluas kepada pengguna akhir.
RHB Research menyatakan, tekanan kos lebih tertumpu kepada sektor tertentu seperti logistik dan pengangkutan, namun impaknya dijangka terkawal serta sebahagiannya diimbangi melalui mekanisme bantuan bersasar.
Kenanga Research pula melihat dasar ini sebagai langkah yang meningkatkan kredibiliti fiskal Malaysia dalam jangka sederhana, selain memperkukuh keyakinan pelabur terhadap agenda reformasi subsidi kerajaan.
Rakyat Malaysia yang layak kini boleh menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI MADANI Diesel yang bermula hari ini.
Harga itu meletakkan Malaysia antara negara yang menawarkan diesel antara terendah kepada rakyat, pada ketika harga diesel global kekal tinggi dan tidak menentu.
Harga pasaran RM3.97, subsidi ditanggung kerajaan
Untuk tempoh 1 hingga 8 Julai 2026, harga pasaran diesel ditetapkan pada RM3.97 seliter. Namun melalui BUDI MADANI Diesel, rakyat yang layak hanya perlu membayar RM2.10 seliter, dengan perbezaan harga tersebut ditanggung kerajaan melalui subsidi bersasar.
Pelaksanaan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, sambil memastikan subsidi negara tidak lagi tiris kepada pihak yang tidak sepatutnya menikmatinya.
Melalui penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan, bantuan subsidi diesel dapat disalurkan terus kepada rakyat Malaysia yang layak secara lebih tepat dan terkawal.
Langkah ini juga penting bagi memastikan subsidi tidak lagi dinikmati secara pukal oleh bukan warganegara atau pihak yang menyalahgunakan diesel bersubsidi untuk tujuan penyeludupan dan aktiviti tidak sah.
Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa penyasaran subsidi bukan bertujuan menarik balik bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan bantuan yang sama dapat diberikan dengan lebih adil kepada mereka yang benar-benar berhak.
BUDI MADANI Diesel juga dijangka membantu kerajaan mengurus tekanan fiskal negara secara lebih berhemah, tanpa mengabaikan perlindungan sosial rakyat dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
Dengan harga RM2.10 seliter, rakyat Malaysia yang layak terus menikmati antara harga diesel paling kompetitif di dunia, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara dalam menghadapi tekanan kos tenaga global. - DagangNews.com



