Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kerajaan telah tampil dengan pelbagai inisiatif dalam usaha memajukan Malaysia daripada pelbagai sudut aspek termasuklah sektor perbankan, ekonomi, industri minyak dan gas, automobil dan banyak lagi.
Selain itu, kerajaan juga telah mengubah beberapa polisi yang akan bermula pada hari ini, 1 Julai 2026.
Di bawah kami kongsikan beberapa perubahan dan perkara yang akan dilaksanakan di negara ini bermula hari ini, 1 Julai 2026.
#1 BUDI Diesel Disepadukan Dengan BUDI95
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026.
Bukan itu sahaja, BUDI Diesel juga akan disepadukan dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mulai hari ini dengan menggunakan pengesahan MyKad.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Subsidi Turun RM2.10 Seliter Di Seluruh Negara Mulai Julai, Mekanisme Berasaskan MyKad Seperti BUDI95
#2 Caj Pengeluaran RM1 Di Mesin ATM Dimansuhkan
Pengguna semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa lagi dikenakan caj RM1.
Melalui inisiatif oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) ini, pemegang kad debit di Malaysia boleh menggunakan lebih 14,000 mesin ATM serta SRM di seluruh negara bagi membuat pengeluaran tunai secara percuma tanpa had dan tanpa mengira bank pengeluar kad mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Lagi Caj RM1 Di Mesin ATM Bermula 1 Julai, Pengguna Boleh Keluarkan Wang Tunai Percuma Tanpa Had
#3 Pasport Malaysia Versi Baharu
Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan tinggi akan mula dikeluarkan secara berperingkat bermula 1 Julai.
Selain memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, pasport baharu ini juga memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia semasa melancong ke luar negara.
Antara aspek yang dinaik taraf termasuklah:
- Hologram
- Cetakan ultraviolet (UV)
- Ciri forensik khas yang sukar untuk dipalsukan
- Jahitan benang pada buku pasport dengan ciri keselamatan

#4 Pasport Malaysia Kini Boleh Renew Sehingga 10 Tahun
Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mempunyai pilihan untuk memohon pasport Malaysia dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.
Pengenalan tempoh sah laku hingga 10 tahun ini dijangka dapat mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport individu.
Bukan itu sahaja, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia juga menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
Kadar bayaran pasport mengikut tempoh sah laku:
- Lima (5) tahun: RM200
- 10 tahun: RM350

#5 Lesen Perniagaan DBKL Kini Boleh Dilanjutkan Hingga 3 Tahun
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif baharu pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun sebagai langkah memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif.
Melalui pelaksanaan tersebut, tempoh sah laku lesen perniagaan bagi permohonan pembaharuan lesen berstatus lulus tetap boleh dipanjangkan daripada satu tahun kepada dua atau tiga tahun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Antara syarat utama termasuk pelesen yang tidak mempunyai sebarang kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.
#6 Dua Syarat Utama Import Kenderaan Elektrik (EV) CBU
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperkenalkan dua syarat baharu bagi import kenderaan elektrik (EV) siap bina sepenuhnya atau CBU iaitu:
- Semua kenderaan elektrik CBU yang diimport perlu mempunyai nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000.
- Had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas.
Memetik Harian Metro, ketetapan itu dibuat susulan tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV di bawah AP Francais dalam bentuk CBU selama empat tahun telah pun tamat pada 31 Disember, 2025.
#7 Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) Di Pintu Sempadan Darat Malaysia
Kementerian Pengangkutan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) di pintu sempadan darat Malaysia–Singapura bermula hari ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemilik kenderaan persendirian individu yang tidak mempunyai VEP sah akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan perlu membayar saman tersebut sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.
Saman juga akan dikenakan kepada pemandu kenderaan persendirian syarikat sekiranya tidak membuat pendaftaran atau tiada VEP yang sah.
#8 Penutupan Kaunter Bayaran Fizikal KWSP
Semua kaunter peresitan (pembayaran caruman) di Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh Malaysia tidak lagi beroperasi, berkuat kuasa 1 Julai 2026.
Bagaimanapun, kaunter perkhidmatan KWSP akan tetap beroperasi seperti biasa.
Susulan penutupan tersebut, ahli masih boleh membuat bayaran caruman melalui saluran alternatif seperti berikut:
- Aplikasi KWSP i-Akaun
- Perbankan internet
- Kaunter ejen bank
- Terminal Servis Layan Diri (SST)
- Perkhidmatan Pasukan KWSP Bergerak/Khidmat Nasihat Persaraan (RA)
#9 Penebusan Baucar Buku MADANI
Penebusan e-baucar Program Baucar Buku MADANI 2026 mula dilaksanakan 1 Julai 2026 hingga 31 Oktober 2026.
Seramai 2,217,579 penerima melibatkan murid daripada kelas peralihan hingga tingkatan enam, pelajar kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bakal menerima manfaat daripada insiatif kerajaan itu.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, baucar terbabit boleh mula ditebus jam 11 pagi menerusi platform BookCapital.





