
PITAS: Pekebun kecil sawit persendirian di Sabah bakal menikmati manfaat sokongan kerajaan berjumlah lebih RM2 juta sejajar usaha Kerajaan Persekutuan memperkukuh pengeluaran minyak sawit mampan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata peruntukan itu menzahirkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa pekebun kecil di daerah Pitas selain memastikan golongan berkenaan kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana menganjurkan Program Pengukuhan Pensijilan Sawit Mampan untuk pekebun kecil sawit persendirian di Pitas.
“Replika cek bernilai RM713,322 juga diserahkan kepada lapan penerima di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) meliputi 39.63 hektar kawasan tanaman semula.
“TSPKS 2.0 ialah skim geran padanan yang memberi kelonggaran bayaran balik kepada pekebun kecil iaitu hanya bermula pada tahun kelima.
“Ini memberi ruang untuk mereka meningkatkan produktiviti sebelum menanggung komitmen kewangan,” katanya ketika merasmikan majlis itu pada Isnin.
Beliau menyatakan kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi TSPKS 2.0 yang diurus sepenuhnya oleh Agrobank.
Menurutnya skim terbabit dijangka memberi manfaat kepada pekebun kecil persendirian dalam usaha tanaman semula pokok sawit tua.
“Setakat ini 707 permohonan melibatkan 3,034.20 hektar di Sabah telah diluluskan.
“Pembangunan infrastruktur juga menjadi keutamaan. Di Pitas enam Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) bernilai RM1.45 juta telah diluluskan sehingga 31 Ogos lalu,” jelasnya.
Chan menyatakan Sabah kekal sebagai peneraju nasional dalam pensijilan sawit mampan malah sehingga akhir Ogos tahun ini seramai 29,918 pekebun kecil yang menguruskan 184,564 hektar telah memperoleh pensijilan MSPO bersamaan kadar pensijilan 97.62 peratus.
“MSPO bukan sekadar meningkatkan penerimaan di pasaran global tetapi ia membawa manfaat langsung kepada pekebun kecil seperti Amalan Pertanian Baik (GAP), pemeliharaan alam sekitar serta hasil yang lebih baik sehingga meningkatkan pendapatan. Di Pitas sahaja seramai 969 pekebun kecil meliputi 5,252.32 hektar kini telah diperakui di bawah skim MSPO.
“Oleh itu saya menggesa pekebun kecil di Sabah untuk merebut peluang menyertai Koperasi Pekebun Sawit Mampan (KPSM) bagi menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan,” katanya keahlian KPSM di Sabah kini mencecah 2,895 ahli termasuk 84 orang daripada Koperasi Pitas Berhad.




