Samenta sokong RUU Perolehan Kerajaan 2025 sebagai reformasi untuk manfaat PKS

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2025 • 6:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samenta sokong RUU Perolehan Kerajaan 2025 sebagai reformasi untuk manfaat PKS

image is not available

28/08/2025 - 18:33

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di peringkat Dewan Rakyat, yang dianggap sebagai satu reformasi penting untuk memperkukuh ketelusan dan keberkesanan dalam proses pemberian kontrak kerajaan.

Menurut Presiden Samenta, Datuk William Ng, meskipun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membentuk lebih 97% daripada jumlah perniagaan di negara ini, akses mereka kepada projek kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih menghadapi pelbagai kekangan.

“Banyak PKS tempatan sebenarnya berupaya membekalkan produk dan perkhidmatan kepada kerajaan, termasuk dalam projek infrastruktur berskala besar.

“Walaupun sebahagian besar tender kini diterbitkan secara terbuka dan boleh dihantar secara dalam talian, masih ramai PKS gagal memperoleh kontrak tanpa penjelasan yang jelas.

“Terdapat juga kes di mana tender dimenangi oleh pihak kurang dikenali atau yang mempunyai hubungan tertentu, yang menimbulkan rasa kurang keyakinan dalam kalangan PKS terhadap sistem perolehan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, peruntukan dalam RUU berhubung tender terbuka, keutamaan kepada produk dan perkhidmatan tempatan, serta persaingan adil adalah wajar dan tepat bagi memastikan PKS mendapat peluang saksama untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Samenta menekankan bahawa sistem perolehan yang telus dan berasaskan peraturan akan memperkukuh ekosistem PKS, menggalakkan inovasi dan memastikan perbelanjaan awam menyokong perniagaan dan komuniti tempatan.

“Reformasi ini dijangka membuka peluang baharu serta menyediakan padang persaingan lebih seimbang bagi PKS yang sedang berdepan tekanan untuk kekal berdaya saing,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 menerusi undi belah bahagian.

RUU yang bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan itu mendapat sokongan daripada 125 ahli parlimen, manakala 63 yang lain tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 lagi tidak hadir

Dalam pada itu, Samenta mengakui terdapat kebimbangan berhubung beberapa peruntukan RUU, termasuk cadangan agar undang-undang perolehan awam turut meliputi GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Bagaimanapun, persatuan itu menegaskan isu tersebut tidak seharusnya menghalang kelulusan undang-undang perolehan yang moden, telus dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Samenta menyeru agar sokongan dwipartisan diberikan bagi meluluskan RUU ini, dengan mempercayai mekanisme semak dan imbang sedia ada, termasuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, mampu mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

“Samenta bersedia bekerjasama dengan kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan undang-undang ini benar-benar menepati hasratnya iaitu mewujudkan sistem perolehan yang telus, berdaya saing dan inklusif kepada PKS,” katanya. - DagangNews.com

standard