RM22 juta jaga kebajikan 14,000 nelayan Sabah

LocalPolitics
21 Mar 2025 • 1:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Sebanyak RM22 juta diperuntuk bagi manfaat kira-kira 14,000 nelayan, membabitkan 16 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Sabah tahun ini dalam usaha menjaga kebajikan mereka, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan elaun sara hidup nelayan bernilai RM300 sebulan.

“Selain itu, peruntukan yang disediakan termasuk untuk membina jeti kecil dan melibatkan kerja-kerja baik pulih 50 rumah nelayan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rahmah Mesra Madani Ramadan bersama komuniti nelayan PNK Libaran di sini, Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa pembinaan jeti dan titian hanya boleh dilakukan di atas tanah milik kerajaan, bukan tanah persendirian, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz menegaskan bahawa subsidi diesel yang disediakan kerajaan hanya menampung sebahagian daripada kos operasi nelayan, bukannya keseluruhan perbelanjaan mereka.

“Subsidi ini adalah sebahagian daripada kos operasi sahaja yang kerajaan tampung. Ia bukan untuk menanggung keseluruhan operasi.

“Sama ada cukup atau tidak, nelayan perlu memahami bahawa subsidi ini hanya membantu menampung sebahagian kos, selebihnya adalah tanggungan mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan subsidi secara bertanggungjawab dan mengingatkan agar ia tidak disalahgunakan untuk tujuan yang melanggar undang-undang, termasuk ketirisan dan penyelewengan.

“Kami di LKIM mengambil serius soal ketirisan ini. Mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penjualan subsidi diesel secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen dan subsidi,” tambahnya.

Menurut Muhammad Faiz, LKIM juga tidak akan teragak-agak untuk menutup jeti yang didapati terlibat dalam ketirisan minyak diesel.

Semasa program itu, seramai 110 nelayan dan golongan asnaf menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya bagi kawasan PNK Libaran.

Program ini merupakan salah satu inisiatif LKIM dalam mendekati golongan sasar, khususnya masyarakat nelayan di Negeri Sabah.

Melalui bantuan yang diterima oleh masyarakat nelayan dan golongan asnaf ini menunjukkan bahawa LKIM komited untuk membantu meringankan beban yang ditanggung nelayan selain memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.