Sabah Electricity Rugi RM30 Juta Setahun Akibat Sambungan Elektrik Haram

21 Feb 2025 • 10:55 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

RM30 juta lesap gara-gara sambungan elektrik haram, ini tindakan Sabah Electricity

Sabah Electricity Rugi RM30 Juta Setahun Akibat Sambungan Elektrik Haram. Sabah Electricity rugi kira-kira RM30 juta setahun akibat sambungan haram elektrik yang masih berleluasa di negeri ini. Jumlah itu dianggarkan mewakili dua peratus daripada kehilangan tenaga dalam sistem grid.

Menyedari ancaman ini, syarikat utiliti Sabah dan Labuan itu menjadikan usaha membanteras penyambungan elektrik secara haram sebagai keutamaan utama pada tahun ini.

image is not available
Sabah Electricity Rugi RM30 Juta Setahun Akibat Sambungan Elektrik Haram

“Sabah Electricity bertekad untuk meneruskan momentum dalam membanteras sambungan haram di seluruh Sabah.

“Berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 1,000 operasi telah dilaksanakan, yang merangkumi 200 Operasi Bersepadu dan 800 lagi Operasi Dalaman,” menurut kenyataan Sabah Electricity yang dimuat naik di Facebook rasmi mereka semalam.

Operasi Bersepadu Terus Dijalankan

Baru-baru ini, Sabah Electricity dengan kerjasama beberapa agensi luar telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu pada 18 Februari lalu di sekitar Kota Kinabalu. Antara agensi yang turut serta ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Imigresen, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof sendiri turun padang dalam operasi ini, menunjukkan komitmen serius mereka dalam membanteras kegiatan sambungan haram.

Sepanjang operasi tersebut, kira-kira 50 rumah dikenal pasti melakukan penyambungan elektrik secara haram. Selain itu, pihak berkuasa turut merampas kira-kira 800 kilogram wayar aluminium yang digunakan untuk aktiviti tersebut.

Jangan Main-Main! Ini Boleh Bawa Padah

Sabah Electricity menegaskan bahawa mereka akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam sambungan haram atau mengusik pepasangan elektrik tanpa kebenaran.

Menurut syarikat itu, tindakan ini bukan sahaja menyalahi peraturan tetapi juga boleh membawa risiko keselamatan yang besar kepada orang ramai. Sambungan haram boleh menyebabkan kebakaran, kejutan elektrik, dan gangguan bekalan yang memberi kesan kepada penduduk setempat.

Untuk makluman, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jadi, kalau anda tahu ada sesiapa yang buat sambungan haram, laporkan kepada pihak berkuasa. Jangan sampai jadi punca kemalangan atau kejadian yang lebih buruk. Jom sama-sama pastikan bekalan elektrik di Sabah lebih selamat dan stabil.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai masalah-masalah elektrik: