
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan rampasan terbesar di Sabah dan Labuan sejak penubuhannya selepas berjaya mematahkan kegiatan sindiket penyeludupan rokok serta merampas 150,700 karton rokok putih bernilai RM24.2 juta, termasuk cukai, di perairan Pulau Sipadan, Semporna, pada Selasa.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata rokok yang dipercayai diseludup dari Vietnam itu disasarkan untuk pasaran di Indonesia, Filipina dan Malaysia.
Rampasan itu membabitkan 2,956 kotak rokok jenama Bossqu, 40 kotak New Aris, 15 kotak Berlin dan tiga kotak New Far dengan setiap kotak mengandungi 50 karton rokok.
Beliau berkata operasi yang dijalankan menerusi Ops Sejahtera dan Op Tiris oleh KM Kidurong bersama 12 pegawai penguatkuasa Zon Maritim Tawau itu menyaksikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM65.7 juta.
Nilai itu termasuk sebuah kapal kargo, sebuah kapal kumpit, peralatan navigasi dan komunikasi, peranti Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), sistem radar, telefon bimbit serta dokumen kapal.
Berucap pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Tawau pada Rabu, Mohd Khairulanuar berkata pihaknya menahan 20 lelaki berusia antara 26 hingga 62 tahun yang terdiri daripada warga Malaysia serta warga Indonesia, Filipina, Myanmar dan India.
Dua suspek utama dikenal pasti sebagai tekong warga Filipina yang mengendalikan kapal kargo dan tekong warga Indonesia yang mengendalikan kapal kumpit. Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil risikan selama beberapa bulan berhubung kemasukan jenama baharu rokok tidak bercukai ke pasaran.
Rondaan maritim kemudiannya mengesan aktiviti mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan apabila kru didapati sedang memindahkan kotak-kotak daripada sebuah kapal kargo ke sebuah kapal kumpit.
Pemeriksaan mendapati kotak-kotak terbabit mengandungi rokok putih.
Kapal kargo itu dilaporkan berdaftar di Malaysia dan membawa dokumen yang menunjukkan Tawau sebagai destinasi seterusnya. Bagaimanapun, kesahihan dokumen berkenaan masih disiasat kerana Tawau bukan pelabuhan transit yang dibenarkan bagi barangan sedemikian.
Sementara itu, kapal kumpit berkenaan tidak mempunyai dokumen pendaftaran dan dipercayai beroperasi secara haram.
Kesemua suspek kini ditahan dalam jagaan Maritim Malaysia sementara menunggu permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Mohd Khairulanuar berkata Maritim Malaysia kekal komited dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut.




