RM25.3 juta masuk akaun Bersatu selepas syarikat peroleh projek Jana Wibawa – IO

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 1:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM25.3 juta masuk akaun Bersatu selepas syarikat peroleh projek Jana Wibawa – IO

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu sejumlah RM25.3 juta dimasukkan oleh individu dan empat buah syarikat ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara September 2021 hingga November 2022.

Pegawai Penyiasat di bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd. Zaini berkata jumlah RM25.3 juta itu dimasukkan selepas individu-individu dan syarikat-syarikat berjaya memperoleh projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Menurut Mazery, kesemua jumlah itu direkodkan melalui transaksi antara 22 September 2021 hingga 22 November 2022, membabitkan syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd, Nepturis Sdn. Bhd, Mamfor Sdn. Bhd serta Sutracom Sdn. Bhd dan pengarah KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff.

Beliau yang kini merupakan Ketua Cawangan Siasatan B berkata semakan terhadap akaun Bersatu di CIMB Bank dan AmBank mendapati bekas Tan Sri Muhyiddin Md Yassin merupakan antara individu yang mempunyai kawalan ke atas akaun berkenaan.

“Saya dapat membuat kesimpulan bahawa hasil semakan terhadap akaun-akaun bank Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) ini terdapat individu dan syarikat yang berjaya mendapat Projek Jana Wibawa telah memasukkan wang ke dalam akaun milik Bersatu yang mana akaun ini dikawal oleh tertuduh.

“Jumlah keseluruhan transaksi mulai 22 September 2021 hingga 22 November 2022 adalah sebanyak RM25.3 juta dan saya menyediakan senarai pendek ini hanya mengikut kemasukkan oleh syarikat yang saya siasat,” kata saksi pendakwaan ke-29 dalam pernyataan saksinya hari ini.

Pada masa sama, Mazery turut memaklumkan beliau juga tidak menemui apa-apa resit penerimaan sumbangan yang dikeluarkan Bersatu kepada syarikat-syarikat berkenaan atau Azman.

Beliau berkata hasil analisa yang saya perolehi terhadap tarikh surat permohonan/sokongan dihantar, tarikh Menteri Kewangan mengambil tindakan, tarikh syarikat terlibat dalam proses penilaian, tarikh Surat Setuju Terima (SST) diterima oleh syarikat serta tarikh wang diterima dalam kedua-dua akaun Parti Bersatu ianya bukan suatu kebetulan memandangkan kaedah pemberian wang adalah pada masa yang serupa iaitu selepas SST dikeluarkan.

Mazery berkata hasil siasatan turut mendapati wang yang dimasukkan syarikat-syarikat berkenaan bukan sumbangan politik, sebaliknya mempunyai kaitan dengan tindakan Muhyiddin membantu mereka mendapatkan projek.

“Wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh yang membantu mereka mendapatkan projek tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau berkata keterangan pemilik dan wakil syarikat turut mengesahkan sumbangan kepada Bersatu dibuat kerana syarikat mereka berjaya memperoleh projek Jana Wibawa dan tidak akan dibuat sekiranya projek berkenaan tidak dianugerahkan kepada mereka.

Perbicaraan dihadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada empat buah syarikat serta seorang individu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

The post RM25.3 juta masuk akaun Bersatu selepas syarikat peroleh projek Jana Wibawa – IO appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved