Kes Jana Wibawa: RM25.3 juta adalah wang balasan dapat projek kerajaan – Saksi

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 2:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kes Jana Wibawa: RM25.3 juta adalah wang balasan dapat projek kerajaan – Saksi

KUALA LUMPUR: Wang berjumlah RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu di antara September 2021 dan November 2022 adalah balasan daripada syarikat-syarikat yang berjaya mendapat projek di bawah Program Jana Wibawa dan bukannya sumbangan politik.

Pegawai penyiasat, Ketua Penolong Pesuruhjaya, Mazery Mohd Zaini berkata, berdasarkan siasatannya, syarikat-syarikat tersebut tidak akan membuat sumbangan kepada Bersatu sekiranya tidak mendapat projek kerajaan di bawah program tersebut.

“Berdasarkan keterangan saksi di kalangan pemilik dan wakil syarikat-syarikat juga mengesahkan sumbangan itu dibuat adalah kerana syarikat mereka berjaya dianugerahkan projek di bawah program Janawibawa. Sekiranya syarikat mereka tidak dianugerahkan projek, mereka tidak akan membuat sumbangan kepada PPBM.

“Hasil siasatan juga mendapati wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang membantu mereka mendapatkan projek tersebut.

“Ianya mempunyai pertalian rapat dan menunjukkan pemberian wang itu bukan sumbangan politik sahaja sebaliknya satu balasan selepas projek diperolehi walaupun bila tertuduh tidak menjadi Perdana Menteri lagi.

“Keadaan mungkin berbeza apabila wang yang dikatakan sebagai sumbangan ini tetap dibuat walaupun syarikat tidak memperoleh projek. Sumbangan ini adalah sebenarnya berbentuk upah dan bukan derma bona fide (niat baik).

“Selain daripada itu, keadaan juga akan mungkin berbeza jika sumbangan dibuat oleh syarikat sebelum mereka menghantar surat permohonan dan faktor jumlah sumbangan juga adalah dalam nilai yang lebih kecil dan munasabah,” katanya yang juga Ketua Cawangan Siasatan B, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mazery adalah saksi pendakwaan ke-29 dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. dan KCJ Engineering Sdn. Bhd. serta Pengarahnya, Datuk Seri Azman Yusof.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Selain itu, Mazery memberitahu, hasil siasatannya mendapati Muhyiddin telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menguruskan permohonan syarikat-syarikat yang memohon projek bawah Program Jana Wibawa.

`Arahan’ tersebut terkandung dalam surat bertarikh 13 November 2020 diberikan Muhyiddin kepada Tengku Zafrul yang mengandungi senarai 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

“Berdasarkan pembacaan dan penelitian saya terhadap kandungan surat bertarikh 13 November 2020 dan juga minit-minit yang diturunkan oleh tertuduh serta tindakan susulan yang diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF), kandungan surat tersebut bukan sekadar suatu permohonan untuk pertimbangan.

“Sebaliknya, bahasa yang digunakan serta konteks keseluruhan dokumen menunjukkan bahawa surat tersebut adalah satu arahan pentadbiran yang mendorong tindakan lanjut oleh pihak MOF sehingga syarikat-syarikat berjaya dianugerahkan projek.

“Saya mendapati surat dan minit daripada tertuduh merupakan faktor yang mencetuskan tindakan lanjut oleh Kementerian Kewangan untuk memulakan proses pertimbangan terhadap permohonan syarikat-syarikat berkenaan. Tanpa surat dan minit tersebut, proses pertimbangan oleh Kementerian Kewangan tidak akan bermula sebagaimana yang telah berlaku,” kata Mazery.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN

The post Kes Jana Wibawa: RM25.3 juta adalah wang balasan dapat projek kerajaan – Saksi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved