RM28 Bilion Hilang Setahun: Kos Sebenar Kebakaran Tanah Gambut yang Tidak Disedari

Business & FinanceEnvironment
20 May 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RM28 Bilion Hilang Setahun: Kos Sebenar Kebakaran Tanah Gambut yang Tidak Disedari Image from: RM28 Bilion Hilang Setahun: Kos Sebenar Kebakaran Tanah Gambut yang Tidak Disedari johardy20/05/2026 - 08:00 Kebakaran tanah gambut bukan lagi isu alam sekitar, tetapi risiko strategik kepada KDNK, eksport dan daya saing ESG Malaysia. Api tanah gambut merebak hampir 100 hektar di Pengerang, Kota Tinggi dalam tempoh kurang seminggu. — Kredit: JBPM Johor Oleh Ir. Dr. Azfarizal Mukhtar dan PgKB II Ir. Wan Mohd NurulHisam Wan Nawang suratpembaca@dagangnews.com

Pada penghujung Januari lalu, satu kebakaran tanah gambut di Pengerang, Kota Tinggi merebak hampir 100 hektar dalam tempoh kurang seminggu.

 

Helikopter diterbangkan bagi melaksanakan pengeboman air dari udara. Seramai 150 mangsa daripada 49 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Asap tebal pula menutupi kawasan perumahan di sekitarnya.

 

Berita biasa? Tidak. Bagi pembuat dasar dan pelabur, ini ialah isyarat ekonomi yang serius. Kebakaran tanah gambut sudah bukan lagi sekadar bencana alam. Ia kini menjadi risiko strategik kepada ekonomi Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Indeks yang Tersembunyi di Bawah Permukaan

Krisis jerebu 1997 hingga 1998 yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut di rantau ini menjejaskan KDNK Malaysia sebanyak 0.30 peratus. Kerugian ekonomi Asia Tenggara dianggarkan mencecah AS$4.47 bilion. Hampir satu bilion tan karbon dilepaskan ke atmosfera.

 

Hari ini, kos pencemaran udara di Malaysia dianggarkan mencecah RM28 bilion setahun, atau hampir 1.9 peratus daripada KDNK. Bagi negara yang menyasarkan pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2025, kehilangan hampir dua peratus akibat udara yang tidak bersih bukanlah angka kecil.


 

parafrasa
Helikopter menjalankan teknik underslung water bombing bagi memadam kebakaran gambut yang sukar dicapai melalui jalan darat. — Gambar JBPM

 

 

Bila Jerebu Menjejaskan Ekonomi

Setiap musim jerebu, beberapa sektor terjejas secara serentak. Pelancongan, yang menyumbang kira-kira 14 peratus kepada KDNK, kehilangan pendapatan apabila tempahan dibatalkan.

 

Penerbangan tertangguh akibat jarak penglihatan yang rendah. Pertanian pula terjejas kerana proses fotosintesis terganggu. Pada masa sama, pekerja jatuh sakit dan produktiviti merosot.

 

Pada 1997, serangan asma di Malaysia meningkat 10.7 peratus semasa jerebu. Hospital terpaksa mengalihkan sumber dan kapasiti perkhidmatan.

 

Inilah kos yang jarang dimasukkan ke dalam unjuran ekonomi, namun terus memberi kesan setiap kali bara di bawah tanah dibiarkan menyala.

 

CBAM, ESG dan Akses Modal

Landskap perdagangan dunia kini berubah dengan pantas. Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah mula mengenakan kos terhadap eksport berintensiti karbon tinggi.

 

Pelabur antarabangsa pula semakin ketat menyaring syarikat berdasarkan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

Bagi Malaysia yang komited mencapai sasaran sifar karbon bersih menjelang 2050, kebakaran tanah gambut yang melepaskan ratusan tan karbon bagi setiap hektar merupakan ketidakselarasan dasar yang boleh menjejaskan naratif negara di pentas global. Ia turut memberi kesan kepada penilaian sukuk hijau, kadar pinjaman ESG dan akses kepada modal antarabangsa.

 

Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 menyenaraikan cuaca ekstrem dan keruntuhan ekosistem sebagai antara risiko jangka panjang terbesar dunia. Tanah gambut Malaysia berada di titik pertemuan kedua-dua risiko ini.

 

 

parafrasa
Anggota bomba menggunakan sistem GS Mark III, mampu menyembur air sehingga 40 meter dan menembusi bara di lapisan bawah gambut. — Gambar JBPM Johor

 


Pelaburan dalam Penyelesaian: GS Mark III

Memandangkan tingginya kos kebakaran tanah gambut, pelaburan dalam teknologi pemadaman yang lebih berkesan ialah strategi ekonomi yang wajar dipertimbangkan.

 

UNITEN dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini bekerjasama dalam kajian penilaian sistem pemadam api bertekanan tinggi yang dikenali sebagai GS Mark III.

 

Sistem ini hanya memerlukan empat anggota bomba berbanding sembilan dalam kaedah konvensional, sekali gus mengurangkan keperluan tenaga kerja hampir separuh untuk hasil yang sama. Ia juga mampu menyembur air sehingga 40 meter pada tekanan sembilan bar, membolehkan operasi dijalankan dari kedudukan lebih selamat.

 

Setiap hari kebakaran berlanjutan ialah hari kerugian. Setiap penggunaan helikopter pemadam melibatkan kos tinggi kepada pembayar cukai. Setiap pemindahan pula menambah beban logistik, makanan dan kehilangan pendapatan isi rumah.

 

Mengurangkan tempoh kebakaran melalui teknologi yang lebih cekap ialah pulangan pelaburan yang boleh diukur. Kajian ini turut melibatkan 1,015 anggota bomba sebagai responden, berpaksikan pengalaman sebenar di lapangan.

 

Apa yang Boleh Dilakukan oleh Sektor Swasta

  • Rantaian bekalan: Pastikan pembekal di kawasan paya mematuhi amalan pengurusan air dan pencegahan kebakaran

  • Pelaburan teknologi: Sokong penyelidikan tempatan seperti GS Mark III sebagai komitmen ESG syarikat

  • Insurans bencana: Tawarkan produk perlindungan khusus untuk kawasan berisiko

  • Pelaporan kemampanan: Laporkan risiko serta langkah mitigasi kebakaran tanah gambut secara telus dalam laporan tahunan

 

 

parafrasa
Gambut yang terbakar tidak boleh dipulihkan, ekosistem ribuan tahun musnah dalam beberapa hari. — Gambar JBPM Johor

 


Aset yang Tidak Boleh Diganti

Tanah gambut ialah aset alam semula jadi yang terbentuk selama ribuan tahun. Berbeza dengan aset ekonomi lain, ia tidak boleh ditanam semula, dibina semula atau diganti.

 

Memandangkan eksport menyumbang lebih 60 peratus kepada KDNK Malaysia, dan negara semakin terikat dengan piawaian iklim antarabangsa yang ketat, perlindungan aset ini bukan lagi sekadar isu alam sekitar, tetapi soal kelangsungan ekonomi negara.

 

 

 

 

 

 

Satu nyalaan kecil yang berjaya dicegah hari ini berpotensi menjimatkan berjuta-juta ringgit pada masa hadapan. Lebih penting, ia melibatkan reputasi negara, keyakinan pelabur ESG dan kesejahteraan generasi akan datang yang akan terus menyumbang kepada ekonomi negara dalam dekad mendatang. - DagangNews.com

 

 

Ir. Dr. Azfarizal Mukhtar ialah Penyelidik Utama di Institute of Sustainable Energy, Kolej Kejuruteraan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). PgKB II Ir. Wan Mohd NurulHisam Wan Nawang ialah pegawai di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam kajian sistem pemadaman kebakaran tanah gambut GS Mark III.
Kedua-dua penulis terlibat dalam penyelidikan bersama UNITEN–JBPM bagi meningkatkan keselamatan dan keberkesanan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Malaysia.
Parafrasa Terkini featured standard