
Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri Sabah dimaklumkan pada Isnin bahawa Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan khas RM285 juta pada Januari untuk membaiki empat jalan utama menggunakan kaedah kitar semula turapan sejuk (CIPR).
Kebanyakan jalan di negeri ini telah melebihi jangka hayat reka bentuknya dan memerlukan lebih daripada sekadar penyelenggaraan rutin dan ia memerlukan naik taraf sepenuhnya, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang berterusan telah meningkatkan jumlah lalu lintas dan menyumbang kepada kerosakan jalan, ditambah lagi dengan lebihan muatan dan faktor cuaca.
“Tampalan saja bukan penyelesaian bagi jalan yang terjejas dari segi struktur. Penyelesaiannya ialah penurapan semula atau pemulihan.”
Empat jalan itu ialah Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan, katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang), yang bertanya mengenai penyelenggaraan jalan dan jambatan, syarikat yang dilantik untuk kerja-kerja itu, dan kemajuan yang dicapai setakat ini.
Projek selama 18 bulan itu dimulakan pada awal Mac dan dijangka siap pada penghujung Ogos tahun depan.
Shahelmey menambah, pada tahun ini, Kerajaan Negeri dan Persekutuan masing-masing memperuntukkan RM450 juta dan RM675 juta untuk penyelenggaraan jalan raya.
Jelasnya, jalan di Sabah diklasifikasikan kepada jalan persekutuan dan negeri, dengan jalan persekutuan diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya.
Bagi jalan persekutuan, sebuah syarikat konsesi dilantik pada 2003 untuk menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan di seluruh Sabah, dengan kontraknya dilanjutkan sehingga 2028.
Sementara itu, syarikat konsesi lain yang dilantik pada 2004 terus mengendalikan penyelenggaraan jalan berturap untuk jalan negeri, dengan lanjutan diberikan sehingga 2034.
Selain itu, tiga syarikat telah dilantik untuk menyelenggara jalan berturap luar bandar dari Jun 2023 hingga Jun 2028, manakala 32 kontraktor menyelenggara jalan kerikil di daerah-daerah.
Satu syarikat juga telah dilantik untuk menaik taraf jalan kerikil dan tanah kepada jalan berturap di seluruh Sabah.
Shahelmey berkata terdapat tiga kategori kerja penyelenggaraan - rutin, berkala dan kecemasan - dengan bayaran dibuat secara bulanan atau progresif berdasarkan kerja yang siap.
Tambahnya, dana penyelenggaraan negeri juga meliputi jalan yang diuruskan oleh Jabatan Saliran dan Pengairan yang berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Mengenai prestasi projek, beliau mengakui walaupun ia dianggap memuaskan, lebih 2,000 laporan ketidakpatuhan (NCR) dikeluarkan tahun lepas berikutan kerja tidak memenuhi standard yang diperlukan.
“Kerja-kerja itu diperbetulkan dan NCR ditutup. Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau prestasi dengan teliti,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menambah peruntukan bagi menaik taraf Jalan Persekutuan yang sudah tua di Sabah.

