RM300 juta untuk Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu

LocalTechnology
12 Oct 2026 • 4:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

RM300 juta untuk Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Projek bernilai RM300 juta yang dibiayai Kerajaan Persekutuan akan mentransformasikan Kota Kinabalu menjadi sebuah bandar pintar menjelang 2028 sekali gus memperkukuh infrastruktur digital, menambah baik pengurusan bandar serta memastikan keselamatan awam dan penyampaian perkhidmatan yang cekap.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu yang bermula pada 6 Ogos itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Beliau berkata projek yang dibiayai menerusi dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah MCMC itu dijadualkan siap pada Februari 2028.

“Skop projek ini merangkumi pemasangan rangkaian gentian optik teras sepanjang 50km dan rangkaian sambungan akhir sepanjang 308km selain pemasangan 822 tiang pintar dan tiang pelbagai guna.

“Ia turut melibatkan penyediaan kemudahan Wi-Fi awam serta pembangunan Pusat Operasi dan Kawalan Rangkaian (NOCC) yang akan berfungsi sebagai pusat utama untuk memantau dan menyelaraskan pelbagai sistem bandar.

“Apabila mula beroperasi, NOCC dijangka membantu DBKK mengurus operasi bandar dan perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya selepas meninjau tapak pembangunan NOCC di sini, Ahad.

Beliau berkata NOCC yang ditempatkan di bangunan bekas Mahkamah Majistret Kota Kinabalu itu akan memberikan nafas baharu kepada bangunan bersejarah berkenaan manakala sebuah pusat data khusus sedang dibangunkan bersebelahan bangunan itu bagi menyokong operasi bandar pintar.

Pusat data itu mempunyai kapasiti 120 kilowatt (kW), dengan tambahan kapasiti simpanan sebanyak 30 kW serta dilengkapi sistem bekalan kuasa sandaran bagi memastikan operasi tidak terganggu.

“Pembinaan pusat data dan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan NOCC dijangka siap dalam tempoh enam bulan selepas itu kakitangan DBKK akan menjalani latihan dan menerima pemindahan pengetahuan sebagai persediaan untuk mengendalikan sistem berkenaan,” katanya.

Teo berkata sebanyak 1,696 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) turut akan dipasang di seluruh kawasan pentadbiran DBKK bagi membolehkan pemantauan trafik, keselamatan dan kecemasan secara masa nyata termasuk membantu siasatan polis dan usaha pencegahan jenayah.

“Pemasangan kamera CCTV akan menjadi sebahagian daripada ciri bandar pintar supaya DBKK dan pihak berkuasa berkaitan dapat mengumpul data masa nyata yang akan membantu DBKK membuat keputusan berkaitan pengurusan trafik, tindak balas kecemasan dan operasi bandar.

“Sistem ini membolehkan DBKK memantau keadaan jalan raya, mengenal pasti kesesakan lalu lintas serta menentukan laluan paling sesuai untuk perkhidmatan kecemasan termasuk pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.

Teo berkata MCMC akan terus bekerjasama dengan DBKK dan pihak pelaksana bagi memastikan infrastruktur digital, NOCC dan sistem bandar pintar dibangunkan mengikut perancangan serta disepadukan dengan berkesan untuk memenuhi keperluan penduduk Kota Kinabalu yang semakin bertambah.

“MCMC akan menanggung kos operasi infrastruktur bandar pintar itu selama lima tahun selepas tempoh pembangunan selama dua tahun, sebelum menyerahkan keseluruhan kemudahan berkenaan kepada DBKK untuk diuruskan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu serta pegawai DBKK.

Chan menyifatkan projek itu sebagai langkah penting ke arah mentransformasikan ibu negeri Sabah menjadi bandar pintar yang lebih moden, selamat dan berdaya saing.

Beliau berkata infrastruktur digital itu bukan sahaja akan menambah baik pengurusan bandar malah meningkatkan keselamatan penduduk dan pelancong, selaras dengan perkembangan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

“Ini projek yang baik kerana penggunaan semula bangunan warisan ini akan membantu meletakkan Kota Kinabalu dalam kalangan bandar yang menerima pakai pembangunan bandar pintar,” katanya.

Chan berkata penyepaduan maklumat daripada rangkaian CCTV dan sistem digital lain akan membolehkan pihak berkuasa membuat ramalan yang lebih tepat mengenai keadaan trafik, cuaca dan keselamatan awam sekali gus menambah baik perancangan serta pengurusan bandar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MCMC atas pelaksanaan projek itu, yang disifatkannya sebagai sumbangan besar kepada pembangunan Kota Kinabalu khususnya dalam mempercepat transformasi digital Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved