RM4.2 juta untuk pembangunan wanita di Sabah

3 Nov 2023 • 1:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam Belanjawan Negeri 2023 bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita di Sabah.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, antara program dan projek yang dilaksanakan, termasuklah Program Keusahawanan Ibu Tunggal, Projek Pembangunan Keusahawanan Wanita dan lain- lain.

Menurutnya, projek-projek tersebut mensasarkan golongan ibu tunggal, wanita berkahwin dalam kategori B40 dan usahawan wanita.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Madani 2023 juga turut memperuntukkan beberapa dana pembiayaan bagi membantu usahawan wanita, antaranya kemudahan pinjaman daripada pelbagai agensi kewangan dengan dana tersedia sebanyak RM1.7 bilion.

Sebagai contoh katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan dana RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro yang diusahakan oleh usahawan wanita dan belia, manakala pinjaman lebih RM1 bilion ditawarkan kepada PKS mikro dan penjaja yang bertujuan membantu meringankan beban para usahawan wanita.

“Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan wanita di negeri ini dan sentiasa berusaha serta mencari jalan memperkasakan ekonomi wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Tawau pada Khamis.

Program anjuran JHEWA itu disertai 350 orang terdiri daripada para peserta kursus kemahiran anjuran jabatan itu dan usahawan wanita sekitar Tawau.

Dalam pada itu, Juliah berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan golongan usahawan di negeri ini.

Justeru, katanya, usahawan wanita perlu merebut peluang dan memanfaatkan bantuan serta pinjaman disediakan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, keusahawanan yang diceburi oleh kaum wanita amat luas meliputi Keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, industri kreatif, teknologi, sektor kecantikan dan banyak lagi.

“Sebab itu kaum wanita kini dilihat lebih aktif terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan. Mereka memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan, mencipta inovasi, dan pelbagai bidang yang lain.

“Walaupun usahawan wanita sering menghadapi cabaran yang unik, termasuk isu ketidakseimbangan bidang kerjaya dan keluarga, namun ini bukan penghalang untuk berjaya kerana banyak sokongan dan rangsangan telah diberikan untuk menyokong keusahawanan wanita,” tambahnya.

Malah, katanya, wanita sudah membuktikan kebolehan mereka untuk Mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh Malaysia.

Juliah turut menyarankan para usahawan menyertai kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan berkaitan perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan usahawan yang berjaya sebagai tauladan, inspirasi dan wawasan bagi mengecapi kejayaan dalam bidang itu.

“Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi akan datang, malah turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya sentiasa menyokong dan mengharapkan kejayaan para usahawan wanita di negeri Sabah, agar setanding dengan kejayaan usahawan- usahawan terkemuka yang berjaya menempah nama dan kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi,” tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.