RM421.9 juta diagih bantu golongan asnaf Kedah

16 Mar 2026 • 11:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan gimik Agihan Zakat LZNK Tahun 2026 di Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa di Dewan Insaniah, Kompleks LZNK pada Ahad.

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan sebanyak RM421.9 juta bagi agihan zakat tahun 2026 yang memberi manfaat kepada golongan asnaf di negeri ini menerusi lima sektor utama bantuan.

Sektor tersebut melibatkan sektor makanan, sara hidup dan pakaian; tempat tinggal; pendidikan; kesihatan serta kebajikan.

Gimik agihan tersebut disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan berangkat ke Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa bagi tahun 2026 di Dewan Insaniah, Kompleks LZNK, Mergong di sini pada Ahad.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali serta Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Dalam majlis berkenaan, baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat iaitu Kulim Technology Park Corporation, Permodalan Nasional Berhad, KAF Investment Bank, Boustead Plantation Berhad dan Environment Idaman Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan RM6.73 juta.

Pada majlis sama, Sultan Sallehuddin juga berkenan mengurniakan agihan zakat fitrah berjumlah RM13.5 juta kepada golongan asnaf melibatkan kategori fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah.

Dalam pada itu, baginda turut menyampaikan Anugerah Penolong Amil Terbaik Peringkat Daerah kepada 12 penolong amil dari seluruh daerah di Kedah yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan.

Dua daripada mereka turut dipilih menerima Anugerah Tokoh Penolong Amil Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 yang membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta pakej umrah bersama pasangan tajaan Az Zuha Group Travel & Tours dan TH Travel & Services.

Terdahulu, Sultan Kedah turut berkenan menunaikan bayaran zakat fitrah bagi tahun 2026 kepada LZNK bagi pihak baginda serta keluarganya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan acara berbuka puasa bersama golongan asnaf serta tetamu yang hadir.