RM5.5 Juta Dalam 4 Hari! Filem Seram Tempatan ‘Polong’ Cetus Fenomena, Gegar Pawagam Seluruh Negara

LocalMovie
2 Jun 2026 • 2:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RM5.5 Juta Dalam 4 Hari! Filem Seram Tempatan ‘Polong’ Cetus Fenomena, Gegar Pawagam Seluruh Negara

Ketika ramai beranggapan filem seram tempatan semakin sukar mencuri perhatian penonton, Polong tampil membuktikan sebaliknya apabila berjaya meraih kutipan luar biasa sebanyak RM5.5 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan. 

Pencapaian ini sekali gus meletakkan filem tersebut sebagai antara karya seram tempatan yang paling hangat diperkatakan ketika ini.

Sejak mula ditayangkan pada 28 Mei lalu, Polong bukan sahaja berjaya menarik peminat filem seram ke pawagam, malah turut mencetuskan gelombang perbualan di media sosial. 

Pelbagai reaksi penonton membanjiri platform digital, dengan ramai berkongsi pengalaman mereka berdepan adegan-adegan mendebarkan dan kejutan yang membuatkan mereka tidak senang duduk sepanjang tayangan berlangsung.

Kejayaan filem ini turut diperkuatkan dengan pujian daripada pengulas filem dan pencipta kandungan yang menyifatkan Polong sebagai antara naskhah seram tempatan yang berjaya memberikan pengalaman menonton yang berkesan.

“Banyak benda yang power gila dalam filem ni,” ulas Movizzy Channel selepas menonton filem tersebut. 

Sementara itu, pengulas filem Zakariah Yusoff menyifatkan Polongsebagai “filem horror yang sangat-sangat berjaya”.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. Polong menampilkan barisan pelakon mantap seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa dan Amir Nafis.

Mengangkat tema legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi, filem ini mengikuti perjalanan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang secara tidak sengaja membongkar kisah lampau seorang bomoh wanita bersiri bernama Maria Hadi. 

Apa yang bermula sebagai satu penyiasatan akhirnya membawa kepada kebangkitan kuasa gelap yang sekian lama tersembunyi.

Perbezaan Polong daripada kebanyakan filem seram lain adalah gabungan elemen seram tradisional tempatan dengan naratif psikologi yang mendalam serta aspek teknikal yang mantap. Kekuatan penceritaan, visual sinematik dan rekaanbunyi yang mencengkam berjaya menghasilkan pengalaman yang meninggalkan kesan kepada penonton selepas mereka meninggalkan pawagam.

Lebih menarik, kejayaan kutipan RM5.5 juta ini hadir hasil sokongan luar biasa rakyat Malaysia yang terus memilih karya tempatan sebagai hiburan utama sepanjang musim cuti sekolah dan cuti umum yang lalu, sekali gus membuktikan bahawa filem tempatan yang dihasilkan dengan kualiti, keberanian dan identiti tersendiri mampu berdiri setanding dengan karya antarabangsa di layar perak.

Bagi mereka yang masih belum menonton, Polong kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Dengan sambutan luar biasa yang diterima setakat ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa filem ini sedang muncul sebagai fenomena seram tempatan yang wajib disaksikan tahun ini. - Getaran, 2 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved