
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan pemberhentian tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara adalah permintaan pihak penerbit, bukan disebabkan arahan pihak lain.
FINAS dalam satu kenyataan hari ini (29 Mei) memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pemamer (pawagam).
“Berdasarkan emel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan.
“Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati, penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkansebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Konspirasi dapat kelulusan Wajib Tayang Pada 14 Mei, FINAS Sudah Cuba Hubungi Penerbit Tapi Gagal
FINAS dalam masa sama turut mengesahkan bahawa filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.
“Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di 120 skrin pawagam seluruh negara. FINAS menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung keputusan penamatan tayangan tersebut.”
Namun menurut FINAS, sehingga kini pihak penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.
Pawagam maklumkan dapat arahan henti tayang daripada pengedar
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pengendali pawagam memaklumkan mereka menerima arahan rasmi daripada pengedar filem Konspirasi untuk menghentikan tayangan.
Tambah Azmir, semakan dengan Bahagian Wajib Tayang dan pengendali pawagam mendapati keputusan memberhentikan tayangan naskhah itu dibuat penerbit, Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films, lapor Berita Harian.
“Saya buat semakan dengan BahagianWajib Tayang pagi tadi dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, keputusan itu dibuat penerbit.
“Saya masih belum berjaya menghubungi penerbit, namun, sudah berhubung dengan pawagam. Lazimnya Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) akan memaklumkan kepada FINAS jika ada perkara yang memerlukan keputusan seperti ini (pemberhentian tayangan filem),” katanya lagi.
FINAS tidak pernah keluar arahan sekat – Azmir
Azmir turut menegaskan FINAS sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sekatan terhadap filem berkenaan.
“Bagi meyakinkan peminat filem di luar sana, tiada sebarang sekatan daripada FINAS. Filem ini juga diluluskan untuk Wajib Tayang dan kami tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menarik balik tayangannya,” katanya.
Elepfilm ada muat naik IG Story ringkas
Pun begitu semakan kami mendapati akaun media sosial Elepfilm ada memuat naik satu posting Instagram story.
Menerusi hantaran tersebut, tertera kapsyen ringkas yang berbunyi, “Hakikat memang pahit ditelan, apatah lagi dikunyah.”

Konspirasi masih ditayangkan di Singapura
Terdahulu pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim yang turut membintangi Konspirasi menzahirkan rasa kecewa apabila tayangan filem arahan Ghaz Abu Bakar di seluruh negara yang baru sahaja bermula pada 21 Mei itu dihentikan secara serta merta.
Perkongsian di laman Threads itu nyata mencuri perhatian peminat dunia hiburan.
Namun Sarimah kemudian menjelaskan FINAS memaklumkan pemberhentian itu adalah atas permintaan penerbit sendiri.
Tambahnya filem tersebut masih lagi ditayangkan di negara jiran, Singapura.
View on Threads
Sebagai info Konspirasi dibintangi Datuk Adi Putra Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan ramai lagi.





