
Kota Kinabalu: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah membuat kutipan cukai sebanyak RM5.7 bilion bagi 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata tahun ini agensi itu menyasarkan kutipan lebih berbanding tahun lepas dengan nilai sasaran RM6.2 bilion bagi Sabah.
“Sasaran berkenaan meningkat memandangkan kutipan pada 2024 menunjukkan maklum balas positif dengan kutipan melebihi tahun sebelumnya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“LHDN juga dari semasa ke semasa akan terus memantau prestasi syarikat-syarikat yang culas untuk membayar cukai.
“Mereka boleh membuat pembayaran secara ansuran dan LHDN Negeri bertanggungjawab untuk memastikan syarikat-syarikat tersebut mematuhi jadual pembayaran,” katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurutnya, tujuan kunjungan ini adalah untuk memperkenalkan Pengarah LHDN Sabah baharu iaitu Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, yang menggantikan Azrul Hisham Shamsudin.
Selain itu, Dr Abu Tariq juga berkata LHDN Sabah telah mengadakan Operasi Pematuhan (OP) Tombak di Tawau dari 23 hingga 25 April.
“LHDN juga ada mengadakan beberapa operasi khusus bagi memastikan peraturan diikuti, antaranya OP Tombak, dalam memastikan pematuhan dari segi cukai pendapatan, termasuk Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem secara elektronik (Stamps) dapat dipantau,” katanya lagi.
Dalam kunjungan tersebut, Dr Abu Tariq diiringi oleh Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) Ahmad Khairuddin Abdullah, Pengarah Operasi Negeri (Audit Cukai Syarikat) Paul Anak Sarip dan Pengarah Operasi Negeri (Pungutan) Naharuddin Nurdin.
Sementara itu, 380 pembayar cukai dengan status tidak aktif dikenal pasti dan didapati aktif menjalankan perniagaan di kawasan bandar.
Dr Abu Tariq berkata ini menunjukkan masih terdapat hasil cukai yang belum dikutip dan tindakan perlu untuk mengemas kini rekod pembayar cukai.
“Penemuan ini memberikan petunjuk jelas tentang potensi kutipan hasil yang belum diterokai dan keperluan untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan rekod pembayar cukai dikemas kini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata antara lima jenis perniagaan utama yang dikendalikan pembayar cukai tidak aktif ini ialah perniagaan hasil segar (buah-buahan, sayur-sayuran, dan ikan), perniagaan makanan kering, perniagaan kraftangan, gerai makanan dan peniaga borong di pasar.
Seramai 23 pegawai LHDN Kota Kinabalu, Keningau dan Labuan serta 35 anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terlibat dalam Program Lawatan Verifikasi Pembayar Cukai Tidak Aktif (PCTA).
Abu berkata PCTA bertujuan untuk mengesahkan status pembayar cukai tidak aktif, terutamanya dalam kalangan pemegang lesen perniagaan yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu – khususnya di Anjung Kinabalu, Anjung Senja dan Pasar Malam Safma — dengan matlamat mengaktifkan semula fail cukai mereka.
Abu berkata PCTA mewakili komitmen berterusan LHDN untuk mengukuhkan pematuhan cukai, meluaskan asas cukai, dan memupuk sinergi yang lebih kukuh antara agensi untuk meningkatkan tadbir urus negara.
Beliau berkata pendekatan operasi bersepadu menunjukkan bahawa strategi pematuhan cukai yang berkesan tidak bergantung semata-mata kepada penguatkuasaan, sebaliknya memerlukan kerjasama rapat antara agensi — terutamanya melalui perkongsian maklumat yang komprehensif dan tersusun.
“Perkongsian data lesen perniagaan oleh DBKK merupakan pemangkin utama kejayaan operasi ini.
“Kerjasama strategik yang diwujudkan melalui program ini harus diteruskan antara agensi persekutuan dan pihak berkuasa tempatan pada masa hadapan bagi menyelaraskan matlamat dan memastikan hasil negara yang mampan,” katanya.


