ALOR SETAR – Hadiah wang tunai hampir RM50,000 menanti peserta pertandingan memancing Kedah Surfcasting Challenge 2026 yang akan berlangsung di Pantai Padang Garam dekat sini pada Sabtu ini.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu mendapat sokongan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan.
Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran berkata, juara bakal membawa pulang wang tunai RM25,000, diikuti tempat kedua RM5,000 dan ketiga RM2,000.
Menurutnya, pemenang tempat keempat hingga kelima masing-masing menerima RM1,000 dan RM500, manakala kedudukan keenam hingga ke-100 akan membawa pulang RM150 setiap seorang.
“Ini merupakan kali pertama pertandingan memancing dianjurkan di Pantai Padang Garam yang sememangnya terkenal dengan spesies ikan belukang yang banyak.
“Kawasan ini dahulunya dipenuhi hutan, namun hasil inisiatif Datuk Mohd Salleh, ia telah dibangunkan dan dibersihkan sehingga menjadi tarikan pelancongan domestik, terutama pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya.
Beliau berkata, kawasan pantai sepanjang kira-kira dua kilometer akan dibuka untuk pertandingan itu dan dijangka mampu menampung sehingga 1,000 peserta.
**media[3506142]**
Tambahnya, sejak dibangunkan, pantai tersebut menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan untuk memancing, khususnya ketika air pasang pada waktu malam.
“Dengan panorama matahari terbenam serta kehadiran pelbagai spesies ikan seperti belukang, semilang, duri, gelama dan gerut-gerut, Pantai Padang Garam kini menjadi antara lokasi terbaik untuk pertandingan memancing di Kedah,” ujarnya.
Dalam usaha menyokong pelancongan domestik, yuran penyertaan ditetapkan pada RM70 bagi satu joran.
Lebih menarik, katanya, penganjur turut menawarkan hadiah tambahan RM1,500 kepada peserta yang berjaya menaikkan ikan pari terberat melebihi tiga kilogram.
“Sebagai rekod, tangkapan pari terbesar di pantai ini pernah mencecah hampir 15 kilogram,” katanya.
Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam pada Jumaat dan disambung semula pada jam 7.30 pagi sebelum pertandingan bermula pada jam 11 pagi.

