KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang penjawat awam untuk memiliki sebuah kenderaan tidak kesampaian selepas dia bukan sahaja menjadi mangsa penipuan e-belian, malah turut terpedaya dengan sindiket khidmat perunding pegawai komersial tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siri penipuan yang bertimpa-timpa itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 48 tahun tersebut menanggung kerugian keseluruhan berjumlah RM53,035.49.
Menurut beliau, segalanya bermula pada 8 April lalu apabila mangsa tertarik dengan satu iklan jualan kereta di laman Facebook.
"Mangsa yang berminat kemudiannya telah melakukan enam transaksi pindahan wang berjumlah RM15,955.49 ke dalam lima akaun bank berbeza atas arahan suspek bagi urusan pembelian kereta berkenaan.
"Bagaimanapun, mangsa mula merasa curiga dan mengesyaki dirinya ditipu sebelum bertindak mencari 'khidmat perunding' di Facebook kononnya untuk menyelesaikan masalah penipuan dalam talian yang dihadapinya," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Azli menjelaskan, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai penyiasat komersial.
"Bagi tujuan kononnya untuk mendapatkan semula wang mangsa, suspek telah mendorong mangsa melakukan tiga lagi transaksi ke dalam tiga akaun berbeza melibatkan jumlah RM5,100.
"Malang tidak berbau apabila dalam masa yang sama, mangsa turut mencuba untuk membuat pinjaman wang secara dalam talian bagi menampung masalah kewangan akibat urusan pembelian kereta tersebut.
"Namun, mangsa sekali lagi diperdaya oleh sindiket pinjaman wang tidak wujud dan didorong melakukan 10 transaksi tambahan berjumlah RM31,980 ke dalam tiga akaun berbeza," jelas beliau.
Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga untuk melakukan kesemua 19 transaksi tersebut sebelum menyedari dirinya telah terjerat dalam rangkaian penipuan yang licik.
Katanya, laporan polis telah dibuat oleh mangsa pada awal pagi 14 April dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran harga kenderaan yang tidak munasabah di media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan khidmat mendapatkan semula wang mangsa penipuan," ujar beliau.



