
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam bukan sekadar mengekalkan produktiviti, malah diyakini mampu meningkatkan kecekapan kerja melalui penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menegaskan setiap pegawai yang melaksanakan BDR diwajibkan memenuhi KPI yang ditetapkan sepanjang tempoh tersebut.
“Sebagai contoh, bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Ahad, BDR tidak dibenarkan pada hari Isnin kerana hari tersebut digunakan untuk pemberian tugasan kepada pegawai. Manakala pada Selasa hingga Khamis, pegawai perlu mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan, dan BDR juga tidak dibenarkan pada hari Jumaat kerana penyelia akan membuat semakan terhadap output yang dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan BDR disusun secara sistematik bagi memastikan kelancaran tugasan, termasuk penetapan hari khusus untuk pemberian tugasan dan semakan hasil kerja.
Wan Ahmad Dahlan berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI serta Sambutan Raya bersama penduduk Kampung Kota Bharu di padang SK Kota Bharu, hari ini.
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan produktiviti susulan krisis tenaga global, beliau menegaskan elemen kepercayaan antara majikan dan pekerja menjadi asas penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan BDR.
“Sebagai sebuah perkhidmatan awam yang matang, saya percaya penjawat awam akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan kerajaan akan terus mendapat manfaat daripada produktiviti yang dihasilkan,” katanya.
Beliau turut menolak kebimbangan bahawa ada penjawat awam mengambil kesempatan ketika BDR, kerana pemantauan rapi dilaksanakan melalui aplikasi khusus.
“Pemantauan dibuat menerusi aplikasi SPOT-Me yang dikendalikan Jabatan Digital Negara, dengan penjawat awam yang menjalankan BDR perlu mendaftar masuk setiap jam. Jadi tidak timbul isu pegawai ‘mengular’ kerana mereka sentiasa dipantau dan yang paling penting ialah hasil kerja atau output yang dicapai,” katanya.
Maklum balas awal, katanya, menunjukkan majoriti penjawat awam menyambut baik pelaksanaan BDR kerana ia membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian termasuk kos pengangkutan. - 11 April, 2026
The post BDR penjawat awam kekal produktif, ‘output’ dipantau rapi appeared first on Scoop.


