
JOHOR BAHRU – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membina satu sistem jaringan hubungan atau linkage bagi menghubungkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan stesen Rapid Transit System (RTS) Link Stesen Bukit Cagar secara terus menerusi jejambat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan sudah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi dan dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan.
Menurutnya, pembinaan linkage itu merupakan tambahan skop projek RTS Link bagi memastikan sistem pengangkutan awam di Johor Bahru dapat diintegrasikan secara lebih menyeluruh.
“Apabila siap nanti, mana-mana penumpang yang menggunakan KTMB boleh berhenti di stesen KTMB dan terus bersambung ke stesen RTS Bukit Cagar melalui jejambat.
“Ia akan memudahkan penumpang dan pada masa sama menggalakkan pengguna RTS Link menggunakan pengangkutan awam untuk sampai ke Bukit Cagar atau keluar dari stesen itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Tinjauan Progres RTS Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Cagar, di sini hari ini.
Anthony berkata, integrasi pengangkutan awam itu turut melibatkan perkhidmatan bas henti-henti yang akan dihubungkan dengan hab pengangkutan awam berhampiran JB Sentral menerusi kemudahan jejambat.
“Jadi kita mahu memastikan penyuraian trafik daripada RTS Link dapat dilaksanakan dengan baik melalui pelbagai mod pengangkutan awam.
“Selain bas dan KTMB, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam lain yang disediakan di Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata, linkage KTMB-RTS Link itu akan dilaksanakan secara serentak dengan usaha mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam lain bagi menyokong operasi RTS Link.
Sementara itu, beliau berkata, bangunan CIQ dan stesen RTS Link di sebelah Malaysia kini sudah siap dari segi fizikal, manakala pemasangan sistem juga telah diselesaikan.
“Sekarang kita berada dalam fasa ujian termasuk ujian pengintegrasian sistem, diikuti free run dan trial run sebelum dibuka untuk operasi kepada orang ramai.
“Fasa ujian dan percubaan ini amat kritikal bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik seperti yang diharapkan,”katanya.
Tambahnya, tarikh rasmi pengoperasian serta kadar tambang RTS Link akan diumumkan secara bersama oleh Malaysia dan Singapura memandangkan projek berkenaan merupakan projek dua hala antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE
The post RM60 juta bina jejambat hubung KTMB-RTS Link appeared first on Kosmo Digital.





