Negara rugi RM50.05 juta akibat kecurian kabel

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 1:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Negara rugi RM50.05 juta akibat kecurian kabel

KUALA LUMPUR: Negera rugi RM50.05 juta dalam tempoh tiga tahun akibat aktiviti pencurian kabel di landasan kereta api di seluruh negara sejak 2024.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerugian itu melibatkan landasan kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 432 kes melibatkan KTMB bagi tempoh 2024 hingga Jun ini yang melibatkan anggaran 19,756 meter dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM16.3 juta.

“Insiden kecurian itu telah menjejaskan sistem kawalan pergerakan tren dan menyebabkan kelewatan operasi KTMB.

“Bagi 2025, kelewatan akibat insiden kecurian kabel direkodkan sebanyak 246 jam bagi perkhidmatan trek elektrik (ETS) dan 135 jam bagi KTM Komuter, manakala tiada kelewatan direkodkan bagi perkhidmatan Antarabandar,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli mengenai kes yang menyebabkan gangguan perjalanan akibat kecurian kabel dan apakah langkah mitigasi yang akan dilakukan oleh pihak kementerian.

Mengenai Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), Hasbi berkata, Prasarana merekodkan sebanyak 163 kes kecurian kabel dengan anggaran jumlah kerugian mencecah RM29 juta.

“Kes-kes tersebut melibatkan jajaran MRT Kajang, MRT Putrajaya serta LRT Ampang/Sri Petaling dan telah memberi kesan kepada kebolehpercayaan operasi serta memerlukan tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.

Beliau berkata, ECRL turut menghadapi perkara sama dengan sehingga 8 Jun lalu, sebanyak 71 kes kecurian kabel direkodkan melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM4.06 juta.

“Selain itu, sebanyak 13 kes kecurian serta kerosakan peralatan dan bahan lain berkaitan sistem turut dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM0.69 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM4.75 juta.

“Walaupun ECRL masih berada dalam fasa pembinaan dan belum melibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna, insiden tersebut berpotensi menjejaskan jadual pelaksanaan projek termasuk kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi,” katanya. – UTUSAN 

 

The post Negara rugi RM50.05 juta akibat kecurian kabel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved