
SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak RM601,400 diluluskan bagi Projek Pembaikan Bumbung Pangsapuri Taman Mesra untuk menangani masalah bumbung dan menambah baik kemudahan kediaman berkenaan.
Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Taman Mesra memaklumkan kelulusan itu diperoleh hasil sokongan Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunaraj George serta pihak berkaitan.
Wakilnya berkata, peruntukan berkenaan menjadi langkah penting bagi menyelesaikan masalah bumbung yang dihadapi penduduk selain meningkatkan keadaan fasiliti di pangsapuri tersebut.
“Kelulusan ini merupakan satu perkembangan yang amat bermakna buat seluruh penduduk dan menjadi salah satu langkah penting dalam usaha menangani masalah bumbung serta memperbaiki keadaan kemudahan di Pangsapuri Taman Mesra,” katanya menerusi video.
Bagaimanapun, beberapa proses susulan masih perlu diselesaikan sebelum kerja pembaikan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Menurut wakil itu lagi, kerjasama dan sokongan semua pihak masih diperlukan bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan serta penambahbaikan kemudahan lain dilaksanakan secara berperingkat.
Pihak pengurusan berharap usaha itu dapat meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk Pangsapuri Taman Mesra.


