
JOHOR BAHRU: Sebanyak RM65.66 juta peruntukan diterima bagi kerja-kerja ubah suai dan naik taraf tandas 938 sekolah yang memerlukan di Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norliza Noh.
Beliau berkata peruntukan itu akan dapat digunakan bagi menyelenggara, mengubah suai dan menaik taraf tandas, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar.
Daripada jumlah itu, beliau berkata RM33.25 juta akan disalurkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor melibatkan 475 sekolah manakala RM32.41 juta diturunkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri melibatkan 463 buah sekolah
“Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek atas penyaluran peruntukan RM70,000 kepada seluruh sekolah di Malaysia,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Pada 11 Julai lepas, Fadhlina dipetik berkata Kementerian Pendidikan memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan tandas dengan menyalurkan peruntukan RM70,000 setiap sekolah. - Bernama



