RM67.2 juta projek infra di Tawau manfaatkan 230,000 penduduk

9 Oct 2025 • 1:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Sebanyak RM67.26 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sudah disalurkan untuk pelaksanaan 62 projek infrastruktur di Tawau yang memberi manfaat lebih 230,000 penduduk tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (gambar) berkata jumlah itu antara RM156.026 juta yang diluluskan kepada Sabah dalam Rolling Plan 5 (RP5) RMK12 untuk pelaksanaan projek-projek kesejahteraan rakyat.

“Semua inisiatif ini selaras dengan visi Kerajaan Madani untuk memperkukuh kesejahteraan dan kemakmuran komuniti tanpa menafikan Sabah sebagai negeri penting dalam agenda pembangunan seimbang di Malaysia.

“Malah kejayaan pelaksanaan kesemua projek terlibat hasil kerjasama strategik antara KPKT, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri yang memastikan setiap projek diselia dengan baik dan memberi manfaat optimum kepada rakyat,” katanya pada siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Tawau di sini pada Rabu.

Nga berkata peruntukan ini dilaksanakan sepanjang 2025 dengan pengawasan oleh enam agensi di bawah KPKT yang merangkumi pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar.

Daripada jumlah itu, katanya, RM42.9 juta ditumpukan kepada projek pembinaan tapak pelupusan sanitari di Bukit Gemok di bawah Jabatan Pengurusan Sisa PepejalNegara.

“Lagi RM9.67 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan pengindahan landskap Bandar Tawau serta menaiktaraf landskap Taman Awam Pelita (TAP) melalui Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Landskap Negara. Kita juga bersedia untuk memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf landskap TAP,” katanya.

Nga berkata RM9.63 juta juga disalurkan untuk pembinaan balai dan kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Merotai, termasuk RM1.38 juta untuk fasa akhir pembinaannya.

Sementera itu, beliau berkata RM4.2 juta lagi disalurkan untuk 10 projek naiktaraf di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan yang melibatkan pasar awam, tandas, perparitan, ruang kaki lima, bumbung dan struktur bangunan.

“Projek-projek ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Pasar Ikan Tawau, Pasar Awam Taman Semarak, Pasar Sin Onn dan Central Market Tawau serta parit dan kaki lima di belakang Jalan Habib Sheikh.

“Kerja-kerja lain termasuk sistem perparitan dan longkang di Taman Awam Muhibbah dan lorong Megah Jaya, laluan pejalan kaki berbumbung ke Hospital Tawau, tandas awam di TAP dan Tugu Peringatan Tawau,” katanya.

Lagi RM340,000 turut disalurkan kepada 17 penerima yang terdiri daripada golongan B40, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inisiatif Program Baik Pulih Rumah di Kawasan Bandar yang diselaraskan Bahagian Kesejahteraan Komuniti.

Tambahnya, KPKT juga menyediakan RM530,000 untuk Program Penyelenggaraan Perumahan bagi pelaksanaan dua projek penurapan jalan dan kerja-kerja berkaitan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Apas dan PPR Sri Titingan.

Semasa lawatan itu, Nga memeriksa Pasar Ikan Tawau yang selesai dinaiktaraf dan dibaikpulih dengan kos RM400, 000 pada pada 28 Februari tahun ini selepas dimulakan pada 13 Ogos tahun lepas.

Beliau juga melawat projek naiktaraf Pasar Sentral Tawau dengan peruntukan RM500, 000 untuk pembinaan partition 40 unit gerai, pemasangan roller shutter, pendawaian elektrik, pemasangan lampu LED dan kipas, mengecat bangunan dan pemasangan awning yang dijadual siap pada 5 Disember ini.

Menteri itu kemudian melawat dua rumah penduduk di Kampung Pukat Tanjung Batu di bawah Projek Baik Pulih Rumah di Kawasan Bandar yang menerima RM20,000 setiap rumah, berjumlah RM40,000.

Nga mengakhiri siri lawatannya ke Tawau dengan mengunjungi TAP yang siap dinaiktaraf sepenuhnya pada 10 September tahun lepas membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM496,780.