
KENINGAU: Sebanyak RM7.68 juta bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri telah diluluskan untuk sekolah dan badan agama bukan Islam bagi Zon Pedalaman Atas tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Beliau berkata 60 penerima membabitkan 249 kelulusan dari Tambunan, Keningau, Sook, Nabawan, Pegalungan, Tenom dan Kemabong menerima bantuan RM3.68 juta yang diagihkan kepada 38 sekolah, RM3.17 juta kepada 194 gereja dan RM830,000 kepada 17 tokong.
“Dalam Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM54.05 juta dengan RM23 juta bagi sekolah dan RM31.05 juta untuk badan agama bukan Islam.
“Dengan peruntukan itu, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan – 346 untuk sekolah dan 1,464 untuk badan agama,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan surat kelulusan bantuan kewangan Kerajaan Negeri di dewan SRJK Yuk Yin, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 294 kelulusan bagi tahun ini berbanding 1,516 tahun lepas.
Menurutnya, sebelum ini Jawatankuasa Bantuan Kewangan sekolah dan badan agama bukan Islam pernah mengadakan majlis serupa di Zon Pantai Barat Selatan, Zon Pedalaman Bawah, Zon Pantai Barat Utara, Zon Pantai Timur Sandakan dan Tawau.
Ellron yang juga Adun Sook berkata, bantuan ini amat bermakna dan relevan memandangkan sekolah amat penting dalam melahirkan modal insan berilmu, memacu pembangunan dan kemajuan negeri seperti yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Pada masa sama, badan agama akan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai murni dan toleransi dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin, menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek bagi membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.
Ellron berharap sumbangan dan bantuan kewangan ini dapat memberi keselesaan, manfaat dan memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Beliau turut menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai salah satu usaha kerajaan untuk melengkapkan dan meringankan beban sekolah dan badan agama dalam usaha menambah baik dan membina sekolah dan rumah ibadat.
“Permohonan bantuan kewangan pada 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac. Sekiranya kedudukan kewangan Negeri bertambah baik, Kerajaan Negeri akan menambah jumlah itu.
“Selain itu, saya memohon jasa baik pihak swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta menyahut seruan kerajaan negeri untuk menyokong institusi sekolah dan badan agama di negeri ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Datuk Roland Chia Ming Shen, dan Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Daniel Nicholas Yap.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

