hamden05/11/2026 - 17:18 Lakaran artis Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka KUALA LUMPUR 5 Nov - Projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM723.9 juta mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemudahan kesihatan bagi golongan berkenaan untuk mendapat perkhidmatan perubatan berkualiti, moden dan menyeluruh.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan bukan sekadar pembinaan sebuah hospital, sebaliknya merupakan pelaburan besar Kerajaan Persekutuan terhadap masa depan kesihatan ibu, wanita dan kanak-kanak di Melaka.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka di Melaka, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa.
Beliau berkata pembangunan fasiliti kesihatan juga perlu mengambil kira keperluan menaik taraf, mengubah suai dan membaiki kemudahan sedia ada, selain penggantian peralatan, penyelenggaraan sistem sokongan serta pengukuhan teknologi maklumat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM6.749 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2027.
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan 594 projek dengan 187 daripadanya merupakan projek baharu, manakala 407 lagi ialah projek sambungan.
Nanta berkata pembangunan fasiliti kesihatan negara perlu bergerak seiring melalui penyediaan kemudahan baharu bagi memenuhi peningkatan keperluan serta memastikan projek dan fasiliti sedia ada terus disiapkan, diselenggara dan berfungsi dengan baik.
"Kita perlu memastikan setiap peruntukan memberikan nilai yang sepadan dengan pelaburan yang dibuat. Projek mesti dirancang berdasarkan keperluan sebenar, dilaksanakan mengikut keutamaan dan dipantau supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam tempoh yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA






