2 blok baharu Hospital Pulau Pinang dijangka siap 2029 tangani kesesakan pesakit, kata Exco negeri

LocalHealth & Fitness
4 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

2 blok baharu Hospital Pulau Pinang dijangka siap 2029 tangani kesesakan pesakit, kata Exco negeri Image from: 2 blok baharu Hospital Pulau Pinang dijangka siap 2029 tangani kesesakan pesakit, kata Exco negeri amree04/11/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov — Kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) dijangka dapat dikurangkan menerusi pembinaan dua blok baharu yang dijadualkan siap masing-masing pada 2027 dan 2029, susulan peningkatan keperluan rawatan pesakit.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, blok wanita dan kanak-kanak di hospital awam berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, manakala blok klinik pakar dan wad pula disasarkan selesai pembinaan menjelang 2029.

 

Beliau berkata, kedua-dua projek infrastruktur tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu kesesakan ketara yang berpunca, antara lain, daripada masalah kekurangan katil wad.

 

"Pihak kementerian berkenaan turut sudah melaksanakan beberapa langkah pengurusan aliran pesakit bagi mengurangkan kes bukan kecemasan daripada terus membebankan Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP," jelas beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

 

Antara langkah itu termasuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan saringan di pintu masuk serta melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan bagi membolehkan pesakit berisiko tinggi dimasukkan terus ke wad hospital.

 

Di samping itu ujar Zi Sen, pihak KKM juga bekerjasama rapat dengan beberapa klinik swasta yang berhampiran menerusi Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40 bagi menyalurkan pesakit berisiko rendah kepada kemudahan rawatan secara lebih bersesuaian.

 

Hospital Pulau Pinang_DagangNews2026

 

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan daripada Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) mengenai langkah kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan dan tempoh menunggu yang semakin panjang di jabatan berkenaan pada ketika itu.

 

"Unit Pengurusan Katil turut diperkukuh menerusi pelaksanaan Dasar Katil Terbuka serta perluasan penggunaan wad secara multidisiplin bagi memastikan pesakit dapat ditempatkan dengan segera di mana-mana katil yang tersedia di HPP," jelas beliau.

 

Proses discaj dan rawatan susulan juga kata Zi Sen, terus diperkemas melalui penggunaan Ruang Menunggu Discaj, dengan sasaran KKM untuk dapat mengosongkan katil sebelum waktu tengah hari bagi memberi ruang kepada kemasukan ramai pesakit baharu.

 

Dari segi statistik ujar beliau, peratus pesakit kritikal di Zon Merah meningkat kepada kira-kira 7.14% setakat Julai 2026 berbanding 6.79% pada 2025, manakala kes separa kritikal di Zon Kuning naik kepada sebanyak 19.81% daripada hanya 18.92%.

 

Sebaliknya jelasnya, kes di Zon Hijau kekal hampir tidak berubah pada kira-kira 40.06% berbanding 40.13%, sementara kes bukan kecemasan atau LOCUM didapati menurun kepada sebanyak 32.99% daripada 34.16% pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved