RM8.5 juta bantu pesakit buah pinggang

LocalHealth & Fitness
8 Mar 2025 • 12:48 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperuntukkan lebih RM8.5 juta dalam bentuk subsidi untuk membantu pesakit Kegagalan Buah Pinggang Tahap Akhir (ESRF) mendapatkan rawatan hemodialisis.

Ini termasuk bantuan rawatan menerusi pemberian 100 buah mesin hemodialisis oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada 25 buah hospital dan klinik terpilih di seluruh wilayah ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, perkhidmatan itu juga percuma tanpa ada sebarang caj dikenakan sekaligus meringankan beban pesakit khususnya golongan miskin.

Katanya, sejumlah RM4.5 juta diperuntukan melalui kementeriannya di bawah Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) itu yang akan memberi tumpuan fasa pertama kepada 2,300 pesakit buah pinggang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,385 adalah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan hemodialisis di klinik dan hospital kerajaan manakala selebihnya seramai 797 yang menjalani rawatan kendiri di rumah.

“Agihan mesin hemodialisis ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan segala rawatan di bawah skim ini juga percuma kerana kerajaan memahami kos rawatan dihadapi pesakit yang tinggi.

“Usaha ini juga solusi jangka pendek bagi meringankan beban pesakit buah pinggang khususnya golongan kurang berkemampuan selaras dengan aspirasi agenda SMJ,” katanya semasa sidang media, di sini, Khamis. Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JPNS), Dr. Maria Suleiman.

Mengulas lanjut, James berkata, selain agihan mesin hemodialisis, Skim Bantuan Kesihatan SMJ turut merangkumi pengecualian caj rawatan penyakit sama di klinik dan hospital serta rawatan kendiri.

Menurutnya, sebelum ini yuran pendaftaran pesakit dikenakan sebanyak RM1 manakala caj rawatan RM13, caj pusat dialisis RM100 dan yuran pakar RM5 yang sudah tentu membebankan pesakit.

“Bayangkan, pesakit buah pinggang sudah tentu terbeban dengan caj ini kerana perlu mendapatkan rawatan hemodialisis dan lainnya secara berterusan sebanyak tiga kali setiap minggu.

“Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta untuk bantuan itu selain RM4.5 juta bagi mesin hemodialisis menjadikan jumlah keseluruhan RM8.5 juta dibelanjakan di bawah skim itu.

“Pelaksanaan Skim Bantuan Kesihatan SMJ ini juga berkuatkuasa serta merta, sekaligus mensejahterakan kualiti hidup pesakit buah pinggang selaras dengan teras kedua agenda SMJ,” katanya.

Sementara itu, Dr Maria berkata, agihan 100 mesin hemodialisis itu amat membantu memandangkan mesin sedia ada sebanyak 474 buah tidak mampu memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

Katanya, 39 daripadanya tidak berfungsi manakala selebihnya sudah terlalu lama dan dikhuatiri akan rosak kerana beban tampungan rawatan hemodialisis yang bertambah saban tahun.

“Kadar nisbah mesin sedia ada kepada pesakit ketika ini 5.35 iaitu tidak dapat menampung keperluan rawatan hemodialisis pesakit, justeru bantuan 100 buah mesin ini dapat memenuhi kekurangan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penghargaan kepada kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang prihatin dengan keperluan dan rawatan pesakit buah pinggang di wilayah ini.