
PETALING JAYA – Peruntukan RM80 bilion merangkumi bantuan, subsidi dan insentif dalam Belanjawan 2027 mencerminkan usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, peruntukan itu turut membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat di seluruh negara.
“Keutamaan KPDN adalah memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara lebih meluas di semua kawasan Dewan Undangan Negeri, termasuk melalui penglibatan kedai runcit, mesin layan diri dan penganjuran Jualan Rahmah Madani Borong.
“Langkah ini juga dapat membantu peniaga kecil mendapatkan bekalan serta mengurangkan tekanan kos perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak RM750 juta diperuntukkan bagi PJRM dan Jualan Agro Madani dengan sasaran keseluruhan 35,000 penganjuran pada tahun hadapan.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 30,000 penganjuran disasarkan menerusi PJRM, manakala 5,000 lagi melalui Jualan Agro Madani.
Fuziah berkata, kerajaan turut menyediakan RM10 juta menerusi inisiatif Jom Malaysia bagi membantu membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar negara.
Katanya, inisiatif itu membuka peluang kepada pengusaha tempatan memperluas capaian pasaran, meningkatkan nilai produk dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah memperkukuh kerangka perundangan e-dagang bagi meningkatkan akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.
Menurutnya, pengukuhan keupayaan operasi agensi penguat kuasa menerusi peruntukan RM1.1 bilion juga penting bagi memastikan undang-undang dipatuhi, pengguna dilindungi dan integriti pasaran terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE
The post RM80 bilion bukti kerajaan bantu rakyat hadapi kos sara hidup appeared first on Kosmo Online.






