
PETALING JAYA – Perbadana Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hari ini memperkenal serta memperkasakan tiga program pembiayaan khusus bagi membantu usahawan Bumiputera mendapatkan modal dengan lebih pantas, mengukuhkan aliran tunai dan meningkatkan kapasiti perniagaan.
Menerusi Prosper Grow Biz Express, Prosper Grow Fuel Up dan Prosper Grow Auto Biz, usahawan yang memenuhi syarat boleh menikmati kadar pembiayaan kompetitif bermula serendah 3.5 peratus setahun secara kadar rata bagi produk terpilih.
Biz Express menawarkan laluan pembiayaan dipercepatkan bernilai antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada usahawan Bumiputera permilikan tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad dalam sektor peruncitan, perdagangan pengedaran dan pembuatan dengan tempoh penyaluran dana seawal 12 hari bekerja.
Fuel Up pula menyasarkan pengusaha stesen minyak Bumiputera, menawarkan pembiayaan modal pusingan sehingga 100 peratus untuk tujuan pembelian stok. Nilai minimum dan maksimum pembiayaan serta tempoh pembiayaan bermula dari RM100,000 ke RM1,000,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Sementara itu, Auto Biz dikhususkan kepada pusat servis automotif di bawah rakan strategik seperti Petronas AutoExpert.
Skop pembiayaan yang ditawarkan merangkumi pembiayaan untuk aset tetap dan modal pusingan bagi membantu pengusaha menambah peralatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi permintaan pelanggan melibatkan julat pembiayaan bermula RM100,000 ke RM1,000,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Sasaran bilangan penerima dan jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan bagi ketiga-tiga program berkenaan adalah seramai 220 usahawan dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM80 juta.
PUNB turut menyediakan tempoh penangguhan bayaran prinsipal atau grace period sehingga enam bulan tertakluk kepada penilaian.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata akses kepada modal pada masa yang tepat boleh menentukan sama ada sesebuah perniagaan mampu memanfaatkan peluang pertumbuhan atau terpaksa menangguhkannya.
“Keperluan usahawan hari ini bukan hanya jumlah pembiayaan yang bersesuaian, tetapi juga proses yang cekap dan struktur bayaran yang mengambil kira realiti operasi perniagaan.
“Pendekatan ini membolehkan usahawan bertindak dengan lebih pantas tanpa mengabaikan disiplin kewangan dan kelangsungan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE
The post RM80 juta bantu 220 usahawan PUNB appeared first on Kosmo Digital.



