hamden30/07/2026 - 12:07 PUNB turut menyediakan bantuan latihan kepada usahawan. - Gambar/Laman web PUNB Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperkenalkan dan menambah baik tiga program pembiayaan khusus bagi mempercepatkan akses modal kepada usahawan Bumiputera, sekali gus membantu mereka mengukuhkan aliran tunai serta memperluaskan kapasiti perniagaan.
Tiga program berkenaan iaitu Prosper Grow Biz Express, Prosper Grow Fuel Up dan Prosper Grow Auto Biz dijangka memberi manfaat kepada 220 usahawan melibatkan sektor peruncitan, perdagangan pengedaran, pembuatan, peruncitan bahan api serta perkhidmatan automotif.
PUNB berkata, usahawan yang layak boleh menikmati pembiayaan pada kadar serendah 3.5% setahun berdasarkan kadar rata bagi produk terpilih, selain kemudahan tempoh tangguh pembayaran balik prinsipal sehingga enam bulan, tertakluk kepada penilaian.
Kemudahan itu bertujuan memberi ruang kepada usahawan menstabilkan operasi perniagaan sebelum memulakan komitmen pembayaran balik secara berjadual.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata akses kepada pembiayaan pada masa yang tepat mampu menentukan keupayaan usahawan merebut peluang pertumbuhan atau terpaksa menangguhkannya.
"Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar jumlah pembiayaan yang bersesuaian. Mereka juga memerlukan proses yang cekap serta struktur pembayaran yang mengambil kira realiti operasi perniagaan mereka.
"Pendekatan ini membolehkan usahawan bergerak lebih pantas tanpa menjejaskan disiplin kewangan atau kemampanan perniagaan dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan.

Di bawah Prosper Grow Biz Express, PUNB menyediakan laluan pembiayaan dipercepatkan antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan sebagai milikan tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad dalam sektor peruncitan, perdagangan pengedaran dan pembuatan.
Pembiayaan menerusi program itu boleh disalurkan dalam tempoh seawal 12 hari bekerja, tertakluk kepada penyerahan dokumen lengkap serta penilaian risiko kredit.
Sementara itu, Prosper Grow Fuel Up memberi tumpuan kepada pengusaha stesen minyak Bumiputera menerusi kemudahan modal kerja sehingga 100% bagi pembelian inventori, khususnya untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi serta pengurusan aliran tunai lebih lancar.
Program berkenaan menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Bagi Prosper Grow Auto Biz, program itu disasarkan kepada pusat servis automotif di bawah rakan strategik seperti Petronas AutoExpert, dengan pembiayaan meliputi aset tetap dan modal kerja.
Kemudahan tersebut membolehkan pengusaha mendapatkan peralatan baharu, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang.
Pembiayaan di bawah program itu turut ditawarkan antara RM100,000 hingga RM1 juta dengan tempoh sehingga tujuh tahun.
Bantuan Latihan dan Sokongan Pemasaran
Selain sokongan kewangan, PUNB berkata rakan strategiknya turut menyediakan latihan, sokongan pemasaran, program perdagangan serta khidmat nasihat pembangunan perniagaan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing.
Izwan berkata, inisiatif tersebut mencerminkan peranan PUNB sebagai rakan pembangunan perniagaan dan bukan sekadar penyedia pembiayaan.
"Matlamat kami adalah membina lebih banyak perniagaan Bumiputera yang berdaya tahan, berkembang secara tersusun serta mampu bersaing dalam rantaian nilai yang lebih luas berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
"Pembiayaan perlu disertakan dengan pemahaman terhadap model perniagaan, keperluan sektor dan kapasiti sebenar usahawan supaya pertumbuhan dapat dikekalkan," katanya.
PUNB berkata, inisiatif berkenaan turut menyokong agenda pembangunan ekonomi Bumiputera serta aspirasi pertumbuhan inklusif Ekonomi MADANI melalui peluasan penyertaan usahawan tempatan dalam aktiviti ekonomi, peningkatan produktiviti dan pengukuhan daya saing perniagaan. - DagangNews.com






