Robot humanoid bakal buat penampilan di Hari Kebangsaan

LocalTechnology
25 Aug 2026 • 11:54 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Robot humanoid bakal buat penampilan di Hari Kebangsaan

KEMUNCULAN robot humanoid dalam acara awam memperlihatkan bagaimana teknologi robotik mula bergerak keluar daripada persekitaran makmal untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

Perkembangan itu bakal disaksikan di Malaysia apabila dua robot humanoid, A1 dan D1 dijadualkan membuat penampilan di Malaysia Marathon 2026 pada 30 Ogos ini, sebelum menyertai perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya keesokannya.

Menurut kenyataan pihak Honor, kehadiran kedua-dua robot itu menarik perhatian kerana bentuknya yang menyerupai manusia.

Ujarnya, keupayaan robot humanoid kini semakin berkembang dari aspek pergerakan, keseimbangan, ketahanan dan kebolehan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

“Teknologi sedemikian menunjukkan bahawa pembangunan robot tidak lagi tertumpu kepada tugasan berulang dalam sektor perindustrian, tetapi turut menuju kepada sistem yang mampu bergerak dalam ruang direka untuk manusia.

“Misalnya, D1 pernah mengambil bahagian dalam Beijing E-Town Humanoid Robot Half-Marathon pada April lalu dan muncul sebagai pemenang bagi kategori tersebut,” katanya.

Tambah Honor, penyertaan dalam acara larian memberikan gambaran mengenai cabaran sebenar yang perlu dihadapi robot berkaki dua.

Berbeza dengan robot beroda yang bergerak di permukaan lebih stabil, robot humanoid perlu mengekalkan keseimbangan badan ketika berjalan atau berlari, mengawal pergerakan anggota serta menyesuaikan langkah dengan perubahan permukaan.

Keupayaan itu bergantung kepada gabungan beberapa teknologi termasuk penderia, sistem kawalan pergerakan, penggerak mekanikal dan kecerdasan buatan (AI).

Fungsi penderia membantu robot memahami keadaan sekeliling, manakala sistem kawalan memproses maklumat dapat menentukan pergerakan yang sesuai.

Bagi robot berkaki dua, kawalan keseimbangan menjadi antara cabaran paling kompleks kerana sedikit perubahan pada kedudukan pusat graviti boleh menyebabkan robot hilang kestabilan.

Kata Honor lagi, kemajuan dalam bidang itu penting kerana reka bentuk humanoid mempunyai kelebihan tersendiri.

Image from: Robot humanoid bakal buat penampilan di Hari Kebangsaan
ROBOT humanoid Honor menyertai acara Beijing E-Town Humanoid Robot Half-Marathon pada April lalu.

“Kebanyakan persekitaran manusia seperti bangunan, tangga, jalan raya dan ruang kerja dibina berdasarkan ukuran serta keupayaan tubuh manusia.

“Robot yang mempunyai bentuk dan pergerakan hampir menyerupai manusia berpotensi menggunakan infrastruktur sedia ada tanpa memerlukan pengubahsuaian besar,” ujarnya.

Dalam jangka panjang, teknologi robot humanoid boleh membuka ruang kepada pelbagai kegunaan, termasuk membantu tugasan berbahaya, kerja yang memerlukan ketahanan fizikal, operasi di kawasan sukar dicapai serta sokongan dalam persekitaran memerlukan interaksi dengan manusia.

Bagaimanapun, kebolehgunaan sebenar robot masih bergantung kepada faktor seperti keselamatan, kos, kecekapan tenaga, ketahanan komponen dan keupayaan sistem membuat keputusan dengan tepat.

Kemunculan A1 dan D1 di Malaysia juga memberi peluang kepada orang ramai melihat perkembangan teknologi robotik secara lebih dekat.

Kongsi Honor, interaksi secara langsung penting kerana konsep robot humanoid hanya difahami melalui video atau demonstrasi makmal.

Apabila robot dipertontonkan dalam ruang awam, masyarakat dapat menilai sendiri tahap pergerakan dan keupayaannya dalam situasi sebenar.

“Penyertaan robot dalam acara larian dan perbarisan pula memperlihatkan satu perubahan menarik dalam cara teknologi robotik diperkenalkan kepada masyarakat.

“Ia bukan sekadar demonstrasi mesin, tetapi gambaran mengenai arah pembangunan robot yang semakin menekankan mobiliti, autonomi dan interaksi dengan persekitaran,” jelasnya.

Perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan lebih besar tentang masa depan hubungan manusia dan mesin.

Semakin robot mampu bergerak dalam dunia sebenar, semakin penting aspek keselamatan, etika dan kawalan daripada manusia.

Robot humanoid mungkin belum menggantikan manusia dalam kebanyakan tugasan, namun kemajuan teknologi menunjukkan bahawa peranannya berpotensi berkembang secara berperingkat.

Bagi Malaysia, kemunculan robot humanoid dalam acara nasional menjadi gambaran bahawa teknologi robotik tidak lagi jauh dari kehidupan seharian.

Dari makmal penyelidikan kepada trek larian dan ruang awam, perkembangan itu memperlihatkan bagaimana robot semakin diuji dalam keadaan sebenar.

Apa yang lebih penting, bagaimana teknologi tersebut akhirnya dapat digunakan secara bertanggungjawab untuk meningkatkan keselamatan, produktiviti dan kualiti kehidupan manusia.

The post Robot humanoid bakal buat penampilan di Hari Kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved