Penampilan 100 anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) bersama aset ketenteraan masing-masing bakal mencuri perhatian pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Menurut laporan Kosmo! Online, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyertaan JMF itu merupakan antara kelainan yang diketengahkan dalam sambutan tahun ini.
“Kita ada kelainan termasuk juga pasukan JMF dari Johor. Jadi, mereka akan turut serta dengan aset-aset dan pasukan seramai 100 orang,” katanya selepas meninjau persiapan ‘human graphic’ di Putrajaya hari ini.

Foto: Bernama
Fahmi berkata, sambutan kali ini turut menampilkan pameran statik aset pertahanan di Dataran Floria dan Monumen Alaf Baru bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat aset berkenaan dengan lebih dekat.
Jelasnya, engunjung bukan sahaja boleh melihat aset ketenteraan dan kepolisan yang dipamerkan, malah berpeluang menyentuh serta menaikinya.
“Jadi, ada lokasi yang mana aset-aset ini diletakkan sepanjang masa. Jadi bagi pengunjung mereka boleh datang menikmati melihat sendiri dengan dekat pada jarak dekat aset-aset ketenteraan, kepolisian dan sebagainya.
“Ini berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Kita juga ada banyak float (perarakan kereta berhias) dan banyak kontinjen pada tahun ini. Salah satu yang saya rasa mungkin kelainannya pada tahun ini,” ujarnya.
Mengulas persiapan sambutan, beliau berkata, tahap kesiapsiagaan ketika ini sudah melepasi 70 peratus dan dijangka meningkat kepada antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Selepas ini, kita akan melihat kerja-kerja pemasangan tangga kambing serta persiapan di Royal Box yang masih dalam proses.
“Berdasarkan perkembangan semasa, saya menjangkakan tahap persediaan akan mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Secara keseluruhannya, segala perancangan berjalan mengikut jadual dan pihak terlibat sedang giat menyiapkan komponen-komponen terakhir bagi memastikan kelancaran program yang telah dirancang,” katanya.

Foto: Bernama
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos bagi memudahkan orang ramai mengatur perjalanan ke lokasi sambutan.
Tambahnya, perkhidmatan teksi air atau water taxi secara percuma turut disediakan kepada pengunjung, sekali gus menawarkan alternatif pengangkutan yang berbeza untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Selain itu, kita turut menyediakan perkhidmatan teksi air atau water taxi secara percuma kepada pengunjung yang ingin menikmati pengalaman perjalanan yang berbeza. Kemudahan ini disediakan untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Dalam aspek keselamatan dan kesihatan pula, saya telah mengarahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan supaya semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kesihatan diteliti dan dimuktamadkan sebelum diumumkan kepada orang ramai dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Ridzauddin Roslan)




